EKONOMI

MBSB TERIMA KELULUSAN PENGAMBILALIHAN MIDF

14/04/2023 09:16 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Malaysia Building Society Bhd (MBSB) telah mendapat kelulusan daripada Menteri Kewangan untuk cadangan pengambilalihan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) daripada Permodalan Nasional Bhd. 

Kelulusan itu dimaklumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). 

MBSB dalam satu kenyataan hari ini berkata transaksi yang dicadangkan itu akan menghasilkan kumpulan perkhidmatan kewangan yang mempunyai modal yang berdaya tahan daripada segi kewangan untuk bersaing dalam pasaran dengan lembaran imbangan yang lebih kukuh. 

"Selain itu, ia akan mewujudkan kumpulan perbankan sejagat dengan perkhidmatan perbankan yang lebih menyeluruh merangkumi perbankan pengguna, perbankan perusahaan komersial termasuk kecil dan sederhana, kewangan pembangunan, perbankan korporat, perbankan pelaburan dan pengurusan aset, yang akan memberikan perkhidmatan kepada asas pelanggan yang lebih meluas, melangkaui Bank MBSB dan kumpulan pelanggan sedia ada MIDF," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Datuk Nor Azam M Taib berkata MBSB akan dapat berkembang kepada segmen pelanggan baharu serta lebih besar melalui penyelesaian pembiayaan, penstrukturan termasuk nasihat yang disesuaikan bagi menyokong keperluan perniagaan selain pertumbuhan pelanggan pengguna dan korporat dengan kekuatan serta kepakaran gabungan. 

Beliau berkata, butiran lanjut akan diumumkan selepas pelaksanaan perjanjian pembelian saham berhubung cadangan transaksi itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan