EKONOMI

SISTEM TENAGA CGR COLDGROW DIPERKENALKAN DI HUB PERKONGSIAN MIGHT

13/04/2023 08:25 PM

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Sistem tenaga CGR COLDGROW™, aplikasi teknologi berasaskan gas asli cecair (LNG) di lokasi telah dilancarkan di Hab Perkongsian Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Cyberjaya oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang hari ini.

Projek itu merupakan kerjasama antara MIGHT serta Wasave Sdn Bhd, dan menandakan pencapaian penting dalam matlamat MIGHT untuk menangani termasuk menyediakan penyelesaian alternatif kepada kecekapan tenaga kontemporari, perubahan iklim, keselamatan makanan dan cabaran bandar pintar.

Presiden dan Ketua Eksekutif MIGHT Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman dalam satu kenyataan hari ini berkata kerjasama itu mencerminkan kepentingan ekosistem yang kondusif bagi menzahirkan teknologi canggih kepada kejayaan komersial. 

"Sistem CGR COLDGROW™ ini akan menjadi penampilan operasi pertama di Malaysia yang boleh diakses oleh pemain industri tempatan dan antarabangsa. 

"MIGHT komited sepenuhnya dalam menyokong aspirasi negara untuk mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050. Usaha penyahkarbonan kami berpaksikan kepada empat tuas iaitu teknologi mampan dan cekap tenaga, perkongsian antara pihak berkepentingan, kebolehulangan industri serta penjajaran dengan ESG," katanya.

Sistem tenaga CGR COLDGROW™ bersedia untuk menyediakan penyejukan 150RT yang berterusan dengan pengurangan sehingga 75 peratus dalam pelepasan karbon. 

Proses regasifikasi dan pemulihan sejuk ini akan memenuhi keperluan air dingin yang diperlukan bagi menangani keperluan penyejukan MIGHT pada kos tenaga yang lebih rendah memandangkan fasiliti MIGHT sehingga kini terpaksa bergantung kepada perkhidmatan penyejukan daerah (DCS) yang sudah pun berusia 25 tahun. 

Pengasas bersama Wasave, Munira Shahrul Baharin berkata elemen paling menarik dalam teknologi COLDGROW™ ialah sifat modulariti dan serba bolehnya yang mana, ia mampu digunakan dalam pelbagai sektor serta kemudahan industri.

Ini merangkumi pusat data, elektrik dan elektronik, telekomunikasi, penjagaan kesihatan, pembuatan, bilik sejuk, gudang penyimpanan termasuk rumah hijau sederhana rendah. 

 Terdahulu pada majlis pelancaran itu, Chang Lih Kang memuji usaha MIGHT yang sejajar dengan aspirasi negara ke arah Sifar Bersih 2050 dan usaha aktifnya memupuk syarikat pemula niaga dalam bidang teknologi baru muncul.

Ini amat penting dalam bidang utama seperti teknologi kecekapan tenaga, pembangunan konsep kecekapan tenaga modular, memanfaatkan kemungkinan tenaga alternatif selain mewujudkan opsyen tenaga LNG pelengkap untuk pengguna tenaga boleh diperbaharui baharu dan sedia ada.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan