AM

53,000 ASNAF TERIMA MANFAAT TABUNG AMANAH MASYARAKAT KETENGAH

12/04/2023 10:57 PM

DUNGUN, 12 April (Bernama) -- Seramai 53,000 penerima telah mendapat manfaat daripada Tabung Amanah Masyarakat KETENGAH (TAMK) yang ditubuhkan pada 2004.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata ia melibatkan peruntukan sebanyak RM103 juta yang disalurkan secara tunai kepada asnaf di wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

Beliau berkata dana TAMK diperoleh melalui hasil keuntungan anak-anak syarikat KETENGAH yang disalurkan kembali kepada penduduk yang memerlukan.

"Sebagai sebuah agensi pembangunan luar bandar, KETENGAH sentiasa prihatin dan menyalurkan bantuan kepada warganya yang dalam kesusahan.

"Penerima TAMK terdiri daripada golongan miskin, pesakit melarat, orang kelainan upaya (OKU), pelajar sekolah dan anak yatim," katanya pada Majlis Doa Selamat dan Santuni Asnaf sempena 50 tahun penubuhan KETENGAH di sini, malam ini.            -- LAGI

Turut hadir Pengerusi KETENGAH Datuk Seri Ahmad Said dan Pengurus Besar KETENGAH, Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Seramai 1,028 asnaf daripada wilayah KETENGAH menerima sumbangan tunai TAMK sebanyak RM200 sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Sementara itu seorang penerima, Mohamad Arsyad Ismail, 43, berkata wang sumbangan itu akan diserahkan kepada isterinya bagi membeli keperluan membuat kuih untuk hidangan hari raya.

Mohd Asyraf berkata sebagai rakyat daripada golongan B40, beliau sememangnya tertekan dengan keadaan ekonomi tidak menentu dan harga barangan yang serba mahal kini.

"Sumbangan RM200 ini besar nilainya kepada saya yang bekerja sebagai buruh ladang. Alhamdulillah dengan duit ini dapatlah isteri beli barang buat kuih untuk hidangan tetamu pada hari raya nanti," katanya.            

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan