AM

BAYARAN BANTUAN AIDILFITRI PEKEBUN KECIL GETAH MULAI JUMAAT INI

12/04/2023 06:20 PM

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Bayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) sebanyak RM200 kepada 318,642 orang pekebun kecil getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan dibuat mulai Jumaat ini (14 April), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam catatan terbaharu di Facebooknya berkata, penyaluran BKKA yang diawalkan dari tarikh 17 April yang ditetapkan sebelum ini, adalah bagi membolehkan penerima membuat persediaan awal untuk menyambut Aidilfitri.

“BKKA yang diawalkan penyaluran ini bakal memanfaatkan seramai 318,642 orang pekebun kecil getah di seluruh negara di mana masing-masing menerima bantuan berjumlah RM200 seorang,” katanya.

Ahmad Zahid berkata bantuan itu melibatkan peruntukan berjumlah RM63.75 juta dan penerima adalah dalam kalangan penerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) Tahun 2022.

Katanya bantuan itu akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima sepertimana yang telah didaftarkan dengan RISDA.

BKKA adalah inisiatif tambahan menerusi pembentangan Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 29 Mac lepas, melibatkan seramai 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM170 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan