DUNIA

DUTA ARAB SAUDI RASMIKAN PROGRAM AGIHAN KURMA SEMPENA RAMADAN

12/04/2023 05:20 PM

KUALA LUMPUR, 12  April (Bernama) -- Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur pada Selasa merasmikan program agihan kurma sebanyak 25 tan, di bawah inisiatif Hadiah Penjaga Dua Masjid Suci bersempena Ramadan 1444H.

Duta Arab Saudi ke Malaysia Messad Ibrahim al-Sulaim berkata agihan kurma berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), badan kebajikan dan pusat Islam dalam majlis berbuka di masjid dan surau terpilih di seluruh negara.

Menurutnya, inisiatif Hadiah Penjaga Dua Masjid Suci yang dimulakan oleh Almarhum Raja Fahd bin Abdul Aziz Al-Saud dan diteruskan oleh Almarhum Raja Abdullah bin Abdul Aziz Al-Saud semakin rancak di bawah naungan Raja Arab Saudi dan Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdul Aziz Al-Saud dan Putera Mahkota Arab Saudi Putera Mohammed bin Salman Al-Saud.

“Para pemimpin ini selayaknya mendapat pujian, selepas pujian kepada Allah kerana mengadakan, menaja dan menaungi inisiatif ini.

“Ini menunjukkan kesungguhan para pemimpin Arab Saudi semenjak era pengasasnya Raja Abdul Aziz Al-Saud dalam berkhidmat untuk Islam dan umatnya di mana sahaja mereka berada,” katanya dalam majlis berbuka puasa di pejabat Atase Agama Kedutaan Arab Saudi pada Selasa, yang turut dihadiri wakil jabatan kerajaan dan badan kebajikan Islam dari seluruh Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan atas inisatif itu dan kerjasama erat antara Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam mengagihkan Hadiah Penjaga Dua Masjid di Malaysia sejak sekian lama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan