SEREMBAN, 11 April (Bernama) -- Rundingan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) masih terbuka meskipun Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersetuju penyandang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kekal bertanding di kerusi masing-masing.
Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata perkara seperti itu biasa berlaku dalam mana-mana proses pembahagian kerusi setiap kali menjelang pilihan raya.
"Secara umumnya kerusi yang dimenangi parti yang bertanding pada PRU14 biasanya tidak disentuh, namun begitu ia terbuka kepada perbincangan. Ia tidak dapat dielakkan kalau mereka mahu bincang tentang pembahagian kerusi, ia perkara biasa dalam mana-mana proses rundingan kerusi," katanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra dan melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) dan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (REDI) Peringkat Negeri Sembilan di BRR Bandar Prima, Senawang di sini, hari ini.
Salahuddin berkata rundingan itu juga membabitkan parti Amanah di Negeri Sembilan.
“Sama ada kita dapat atau tidak (kerusi), terpulang pada hasil rundingan yang diadakan secara baik," katanya.
Di Negeri Sembilan, PH mempunyai 20 kerusi DUN manakala BN 16 kerusi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial