AM

ALUMNI AL-AZHAR 'KUBU PERTAHANAN' AKIDAH UMAT ISLAM - PM

08/04/2023 07:35 PM

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendidikan, kefahaman dan fikrah Islam yang dipelopori oleh alumni Universiti Al-Azhar, Mesir menjadi ‘kubu pertahanan’ akidah umat Islam.

Dalam perutusan video sempena Sambutan Hari Al-Azhar Sedunia hari ini, beliau berkata menjadi tradisi bagi universiti terulung Islam itu menghasilkan para ilmuwan yang memberi sumbangan besar bukan hanya kepada Malaysia malah seluruh dunia.

Perdana Menteri berkata justeru, para ilmuwan Universiti Al-Azhar diharap dapat terus memperluas dakwah kesedaran dan pengisian ilmu khususnya dalam kalangan masyarakat MADANI.

“Sebab itu di Seri Perdana, saya menganjurkan majlis dan secara kebetulan sama ada syeikh yang datang dari Al-Azhar ataupun mufti atau ilmuwan yang majoriti besarnya adalah kelulusan atau alumni Al-Azhar,” katanya pada majlis anjuran Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini.

Anwar dilihat sering menganjurkan majlis ilmu di Seri Perdana sejak menyandang jawatan Perdana Menteri pada November tahun lepas.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas kejayaan WOAG menganjurkan majlis itu dan meluncurkan buku ‘Memahami Pemikiran Melampau.’

Perdana Menteri juga mendoakan agar perjumpaan itu dapat menghasilkan kejayaan yang baik untuk mengangkat martabat umat Islam melalui pencerdasan dan kecelikan budaya berdasarkan kefahaman terhadap Islam. 

Program sambutan itu diadakan sempena genap 1,083 tahun penubuhan Universiti Al-Azhar dan sambutan Hari Al-Azhar Sedunia di peringkat global itu dicetuskan oleh Pejabat Syeikh Al-Azhar di Mesir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan