EKONOMI

TALENTCORP-NSDC INDIA METERAI MOU PERKUKUH KERANGKA KEMAHIRAN DIPACU INDUSTRI

07/04/2023 11:10 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) dan National Skills Development Corporation (NSDC) India menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mengukuhkan rangka kerja kemahiran dipacu industri Malaysia bagi pekerjaan kritikal dalam sektor utama serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET ).

Melalui kerjasama itu, TalentCorp dan NSDC akan bertukar maklumat dan amalan terbaik untuk rangka kerja kemahiran dipacu industri termasuk dasar, program dan inisiatif yang berkaitan dengan pembangunan tenaga kerja termasuk TVET dan perantisan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan TalentCorp Thomas Mathew dan Ketua Pegawai Eksekutif NSDC India Ved Mani Tiwari hadir pada majlis menandatangani perjanjian itu di New Delhi pada 3 April, bersama Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kemahiran dan Keusahawanan India Atul Kumar Tiwari.

TalentCorp dan NSDC dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata MoU itu selaras dengan objektif Kementerian Sumber Manusia melalui TalentCorp untuk menubuhkan Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan yang akan mengenal pasti kemahiran yang diperlukan untuk memacu ekonomi ke hadapan dan memastikan tenaga kerja Malaysia dilengkapi kemahiran yang memenuhi permintaan.

Sivakumar juga berkata perkongsian itu adalah kerjasama yang berpandangan jauh dan pemangkin dalam mempercepatkan fokus Kementerian Sumber Manusia ke arah memperkukuh rangka kerja kemahiran nasional dan membangunkan kumpulan tenaga mahir untuk negara.

Mathew berkata perkongsian strategik dengan NSDC India adalah sebahagian daripada misi TalentCorp dalam memastikan dapat menyediakan tenaga kerja mahir di dalam negara untuk masa depan.

“Melalui pembelajaran dan penggunaan daripada model rangka kerja kemahiran yang berjaya seperti MPPK, hasilnya akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara dan membantu mewujudkan tenaga kerja yang lebih mahir dan cekap,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Am Kumpulan NSDC dan Pengarah Antarabangsa merangkap Ketua Pegawai Operasi Ajay Kumar Raina berkata India sentiasa meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam kerjasama antarabangsanya dengan kerajaannya yang menumpukan pada membina rangka kerja yang kukuh untuk mengukuhkan sistem pendidikan sedia ada merentasi pelbagai bidang seperti vokasional, pendidikan dan pembangunan kemahiran.

"MoU itu menandakan satu lagi batu loncatan dalam hala tuju NSDC untuk memetakan jurang kemahiran dan membangunkan program pendidikan serta latihan yang relevan untuk memenuhi keperluan perniagaan global yang berkembang," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan