AM

MAYAT ANGGOTA KOMANDO DIKHUATIRI LEMAS DI PULAU UNDAN DITEMUKAN DI TANJUNG SEPAT

19/02/2023 07:08 PM

MELAKA, 19 Feb (Bernama) -- Mayat anggota komando yang dikhuatiri lemas ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Undan 7 Feb lepas, ditemukan terdampar di pantai bakau Tanjung Sepat, Selangor, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata mayat lengkap berpakaian sut penyelam itu ditemukan orang ramai kira-kira pukul 10.15 pagi tadi.

Beliau berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat dari Balai Polis Kandang memaklumkan mengenai penemuan itu dan pihak Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak) mengesahkan mengenai mayat ditemukan orang awam itu sebelum dihantar ke Hospital Banting, Selangor untuk siasatan lanjut. 

“Dengan penemuan mayat pelatih penyelam tersebut, SAR ditamatkan pada 2.30 petang dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia juga telah dimaklumkan mengenai penemuan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iskandar turut mengucapkan terima kasih kepada agensi sahabat iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan komuniti nelayan yang terlibat sepanjang SAR tersebut.

Isnin lalu, APMM menangguhkan SAR berkenaan selepas pencarian yang memakan masa selama tujuh hari gagal menemukan sebarang petanda mengenai kehilangan mangsa.

Pada 7 Feb lepas, L/Kpl Edrin Baintim, 25, yang merupakan anggota Tentera Darat dipercayai daripada Grup Gerak Khas (GGK) atau lebih dikenali sebagai komando, dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.

Mangsa dikatakan hilang ketika latihan eksesais 'Pari Harimau' iaitu kursus juruselam bersama enam pegawai dan 37 peserta dari Pulpak Sungai Udang.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan