DUNIA

MENTERI LUAR ZAMBRY ADAKAN LAWATAN RASMI KE ARAB SAUDI BERMULA HARI INI

19/02/2023 10:42 AM

PUTRAJAYA, 19 Feb (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi mulai hari ini hingga 23 Feb.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan memaklumkan Zambry dijadual bertemu rakan sejawatnya Putera Faisal bin Farhan bagi menyusuli perbincangan memperkukuhkan lagi kerjasama dua hala kedua-dua negara, termasuk penganjuran Saudi-Malaysian Coordination Council (SMCC) selain menerokai kerjasama dalam bidang-bidang baharu.

Arab Saudi merupakan negara Asia Barat pertama yang dilawati beliau sejak menyandang jawatan sebagai Menteri Luar pada 2 Dis 2022 yang lalu.

“Ia menggambarkan hubungan istimewa yang wujud selama ini, serta komitmen Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap hubungan dua hala Malaysia-Arab Saudi," menurut kenyataan itu.

Dalam lawatan itu, Zambry juga akan bertemu Menteri Pelaburan Arab Saudi, Khalid A. Al-Falih untuk menerokai potensi kerjasama ekonomi baharu antara kedua-dua negara.

“Menteri Luar juga akan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Jasem Mohamed Albudaiwi di Riyadh bagi  menyusul perbincangan berkenaan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang akan dianjurkan pada tahun ini,” menurut kenyataan itu.

Zambry juga dijadual untuk mengadakan pertemuan berasingan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Duta Hissein Brahim Taha di Jeddah dan Setiausaha Agung Liga Muslim Dunia Sheikh Dr Mohammed Al-Issa di Riyadh.

Beliau juga akan mengadakan sesi pertemuan bersama ahli-ahli perniagaan di Riyadh dan Jeddah, yang dijangka menjadi platform bagi meneroka kerjasama perniagaan dan pelaburan baharu khususnya di Arab Saudi.

Arab Saudi kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia dan sumber import terbesar di rantau Asia Barat.

Pada 2022, jumlah dagangan dua hala dengan Arab Saudi mencecah RM45.52 bilion (US$10.26 bilion), peningkatan sebanyak 159.2 peratus berbanding RM17.56 bilion (US$4.23 bilion) pada 2021.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan