AM

MOHAMMED RASHDAN DILANTIK PENGERUSI BAHARU SURUHANJAYA TENAGA

17/02/2023 11:10 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Tenaga (ST) mengumumkan pelantikan Mohammed Rashdan Mohd Yusof sebagai pengerusinya yang baharu berkuat kuasa kelmarin, menggantikan Datuk Aizan Osman yang tamat tempoh perkhidmatanya pada hari tersebut.

ST, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pelantikan berkenaan atas persetujuan Perdana Menteri, Datuk seri Anwar Ibrahim.

Mohammed Rashdan berkelulusan Sarjana Ekonomi dengan kepujian dari Universiti Cambridge, England dan memulakan kerjayanya sebagai akauntan di PricewaterhouseCoopers (PwC) pada 1992.

“Beliau mempunyai pengalaman dalam sektor ekonomi dan pengurusan syarikat terutama bidang penstrukturan semula korporat serta perbankan pelaburan. Beliau kini berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Urusan, Kumpulan Gamuda Berhad, sejak 2018,” menurut kenyataan itu.

ST memaklumkan Mohammed Rashdan pernah menjadi Pengarah Urusan di QuantePhi Sdn Bhd selama enam tahun bermula pada 2012 dan Pengarah Eksekutif Pelaburan di Khazanah Nasional Berhad selama dua tahun pada 2010.

Selain itu, beliau juga pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif dan ahli Lembaga Pengarah di Maybank Investment Bank selama dua tahun dari 2008.

“ST mengalu-alukan kepemimpinan beliau agar membawa agenda ST ke tahap yang lebih tinggi,” menurut organisasi itu.

ST juga merakamkan terima kasih kepada bekas Pengerusi ST, Aizan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau dari 8 Mei 2020 hingga 14 Feb tahun ini.

“Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau telah banyak memberi sumbangan dari segi pengalaman dan idea bernas yang cukup berguna dalam mencapai aspirasi, visi dan misi ST,” menurut ST.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan