AM

KPDN BERHASRAT PERKENAL 'BAJU RAYA RAHMAH'

15/02/2023 08:13 PM

JITRA, 15 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhasrat untuk memperkenalkan program 'Baju Raya Rahmah' dalam usaha membantu golongan memerlukan menghadapi persediaan menyambut perayaan Aidilfitri.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata untuk itu beliau telah mengadakan satu sesi libat urus dengan pemain industri tekstil ataupun pakaian dan minggu depan pihak berkenaan akan memberikan maklum balas berserta maklumat berkaitan kepada pihak kementerian.

Salahuddin berkata beliau sendiri akan mengumumkan syarikat atau gedung pakaian yang akan terlibat dalam program itu nanti yang prinsipnya pihak syarikat atau gedung berkenaan mungkin akan memfokuskan kepada baju raya asas melibatkan pakaian wanita dan lelaki serta anak-anak.

"...mereka akan tawarkan pada harga Rahmah, itu saya akan umum kemudianlah, tetapi libat urus itu memang telah berlaku. (Maklum balas mereka dalam sesi libat urus itu) memang positif dan mereka bersedia. Sebagaimana Menu Rahmah, kita juga tidak mengamalkan apa dikatakan pemaksaan.

"Kita tak letak apa-apa peraturan atau syarat, tetapi mereka melakukan dengan secara sukarela," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis sumbangan kembali ke sekolah dan program KPDN Kedah di Kodiang dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata restoran makanan segera McD juga akan terlibat sama dalam Program Menu Rahmah yang dilancarkan KPDN dengan pihak restoran itu akan memberikan keputusan mengenai menu bersesuaian pada minggu depan.

"...mereka nak bincang dari segi menu sebab pasal dia syarikat multinasional, jadi nak kait dengan Rahmah itu (perlu) selesaikan dari segi peraturan saja...secara prinsipal apabila mereka datang berjumpa kami itu, mereka menyatakan kesediaan untuk sertai Menu Rahmah ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata sejumlah 70 premis makanan di Kedah setakat hari ini memberikan maklum balas bersetuju untuk menyertai Program Menu Rahmah.

"Saya difahamkan KPDN Kedah merancang untuk menambah sehingga 150 (premis makanan) lagi. Ini merupakan satu usaha yang saya rasa sangat murni dan berkesan untuk kita membantu kepada mereka yang sangat memerlukan Menu Rahmah ini," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan