AM

GANGGUAN BEKALAN AIR DI KAWASAN TERJEJAS PULIH 99 PERATUS - AIR SELANGOR

13/02/2023 09:59 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Selangor, disebabkan henti tugas sementara empat Loji Rawatan Air (LRA) berikutan insiden pencemaran bau di Muka Sauk LRA Rantau Panjang sejak malam Sabtu lepas, telah pulih 99 peratus setakat 6 petang hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata bekalan air di  Petaling, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor, telah pulih sepenuhnya manakala pemulihan di Klang dan Shah Alam pada tahap 94 peratus.

Beliau berkata gangguan air di 12 kawasan di Wilayah Klang masih belum pulih sepenuhnya dan kerja-kerja pemulihan sedang giat dilakukan.

“Bekalan air di Wilayah Klang dijangka pulih sepenuhnya 6 pagi Selasa. Tempoh pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain, bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Air Selangor turut menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih, sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

Pengguna yang telah mendapat bekalan air juga diharap menggunakan air secara berhemah, bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.

Insiden pencemaran bau di Muka Sauk LRA Rantau Panjang menyebabkan LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 2 dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 dihenti tugas sejak malam Sabtu (11 Feb), namun kesemua loji berkenaan telah kembali beroperasi sepenuhnya pada keesokan paginya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan