KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Skuad badminton negara telah bersedia untuk memulakan kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2023 (BAMTC), menentang tuan rumah Emiriah Arab Bersatu (UAE) esok.
Pemain beregu lelaki negara Aaron Chia yang telah menguji gelanggang di Pusat Pameran Dubai hari ini, berkata atas kertas Malaysia sepatutnya tidak mengalami masalah besar untuk menewaskan UAE, pada aksi pembukaan Kumpulan B itu.
Namun, beliau tetap mengingatkan rakan sepasukannya supaya berwaspada, memandangkan aksi sulung itu penting untuk mendapatkan rentak positif, sebelum bertemu Kazakhstan pada Rabu dan India pada hari seterusnya.
“Ini kali pertama kita uji gelanggang, ada licin sikit, jadi kena berhati-hati. Walaupun atas kertas kita lebih kuat, tetapi kena kerja keras untuk beri yang terbaik,” katanya menerusi video yang dikongsikan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Sementara itu, pemain perseorangan wanita muda negara Wong Ling Ching yang bakal membuat penampilan pertama pada BAMTC, teruja serta berjanji untuk mempamerkan aksi yang membanggakan.
“Saya sangat gembira dan teruja untuk beraksi pada kejohanan besar ini, terima kasih kepada BAM yang memberikan peluang. Keadaan gelanggang sangat bagus, cuma saya rasa bola sedikit lambat,” kata pemain berusia 20 tahun itu.
Malaysia tidak pernah melepasi peringkat suku akhir, apabila tewas dalam peringkat lapan terakhir pada edisi pertama 2017 di Hanoi, Vietnam dan edisi 2019 di Hong Kong, manakala edisi 2021 di Wuhan, China dibatalkan kerana pandemik COVID-19.
Hanya dua pasukan terbaik kumpulan akan mara ke suku akhir, manakala empat pasukan terbaik kejohanan akan mendapat slot automatik ke Piala Sudirman.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial