AM

BERI RUANG BADAN PENGUAT KUASA, PERUNDANGAN BANTERAS RASUAH - ANWAR

06/02/2023 08:30 PM

PETALING JAYA, 6 Feb (Bernama) -- Semua pihak digesa memberi ruang kepada badan penguatkuasaan dan perundangan negara untuk melaksanakan tugas mereka dalam usaha membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.  

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  berkata ia bagi memastikan badan penguatkuasaan ini mampu bertindak dengan tegas dan menyempurnakan tugas mereka dengan baik sekali gus menyelamatkan negara daripada perbuatan keji itu. 

“Negara ini di ambang kerosakan kerana keterlanjuran dan rasuah sudah menjadi sebahagian daripada sistem yang tak mudah dirungkai.

Percayalah setelah beberapa bulan dalam kerajaan, saya yakin masalah ini memang rumit serta sukar dirungkai dan oleh itu pemimpin politik janganlah guna alasan agama dan alasan kaum untuk mempertikai tindakan membanteras rasuah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pimpinan PKR di sini hari ini. 

Anwar berkata beliau membuat seruan itu kerana melihat ada pihak yang menggunakan alasan agama yang remeh untuk mempertahankan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. 

Justeru beliau menegaskan bahawa tiada mana-mana agama yang boleh digunakan untuk mempertahankan perbuatan kotor itu termasuk Islam.

“Apa lagi Islam yang tegas menolak penyalahgunaan kuasa dan fasad dalam sistem yang berpunca daripada rasuah yang bermaharajalela dalam negara ini,” katanya.

Menyentuh mengenai pembekuan beberapa akaun milik parti Bersatu, Anwar berkata ia dilakukan kerana melibatkan jumlah yang besar dan dikaitkan dengan beberapa keputusan kerajaan yang dibuat semasa Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri. 

“Sepatutnya mereka bersiap untuk beri penjelasan di mana yang perlu dan jangan ganggu badan penguatkuasaan sama ada PDRM (Polis Diraja Malaysia), LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) atau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan kemudiannya andai kata ada pendakwaan  biar badan kehakiman betindak secara bebas. 

“Kalau bersih tidak usah rasa takut. Semua uar-uar kita ini parti yang bersih yang mahu wujudkan kerajaan bersih, jadi sepatutnya kita sokong semua. Bagaimana harus kita bersihkan (rasuah) kalau tidak kita beri wewenang dan kuasa yang lebih kepada badan penguatkuasaan untuk menjalankan dan menyempurnakan tugas mereka,” katanya.

Rabu lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan pihaknya telah membekukan beberapa akaun bank milik Bersatu bagi tujuan membantu siasatan.

Beliau berkata siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Pada 6 Dis lepas, Azam berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan