AM

KERAJAAN TAMBAH DUA MESIN PENGIMBAS LALUAN PEJALAN KAKI CIQ BSI

06/02/2023 07:40 PM

JOHOR BAHRU, 6 Feb (Bernama) -- Kerajaan akan menambah dua mesin pengimbas bagi laluan pejalan kaki di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, bagi menangani kesesakan di Tambak Johor, mulai Jun depan.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata tindakan itu merupakan antara langkah penyelesaian jangka masa pendek untuk mengatasi kesesakan memandangkan kini hanya sebuah mesin pengimbas disediakan di kompleks berkenaan.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga telah menambah laluan lori tanpa muatan kepada dua lorong berbanding hanya satu lorong sebelum ini.

"Kunjungan saya hari ini berkaitan dengan teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu tindakan diambil untuk mengatasi kesesakan di CIQ BSI ini.

"Penambahan lorong lori tanpa muatan dan mesin pengimbas ini adalah melibatkan kos berjumlah kira-kira RM1 juta," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di CIQ BSI, hari ini. 

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri. Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Sementara itu, Ahmad berkata pihaknya akan mengkaji permintaan kerajaan negeri Johor untuk menambah lorong motosikal sedia ada di kompleks berkenaan daripada 50 lorong kepada 75 lorong.

"Permohonan ini dilihat wajar dan mampu dilaksana tanpa melibatkan kos perbelanjaan besar, kerana ia tidak membabitkan pembinaan struktur bangunan baharu sebaliknya hanya ubahsuai kaunter Jabatan Imigresen sedia ada.

"Untuk tujuan tersebut, kita jangka ia akan menelan kos sebanyak RM2.57 juta untuk dilaksana, tetapi ini masih di peringkat perbincangan, belum diputuskan lagi," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pontian itu turut memuji Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana telah berjaya membuat kutipan cukai melebihi sasaran ditetapkan untuk tahun 2022.

"Tahniah kepada JKDM kerana berjaya membuat kutipan cukai sebanyak RM3.71 bilion tahun lepas, melebihi sasaran awal ditetapkan iaitu RM3.61 bilion. Ini satu pencapaian baik dan kita percaya ia boleh ditingkatkan lagi," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan