EKONOMI

MTDC, GOBI PARTNERS LABUR BERSAMA PENDANAAN AWAM DALAM TALIAN TERKEMUKA MALAYSIA

03/02/2023 10:33 AM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), unit milik penuh Khazanah Nasional menyertai Gobi Partners untuk pelaburan bersama RM5.0 juta dalam Pitch Platforms Sdn Bhd (pitchIN).

Platform pendanaan awam ekuiti pitchIN ialah Pengendali Pasaran Berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti dan sehingga kini dan ia telah berjaya membiayai 154 tawaran -- yang paling tinggi antara semua platform pendanaan awam ekuiti di Malaysia.

PitchIN telah mengumpulkan lebih RM280 juta setakat ini, dengan lebih 7,600 pelaburan dibuat ke dalam syarikat Malaysia yang berkembang pesat.

Dalam satu kenyataan, MTDC berkata ia sedang melabur bersama dalam syarikat itu melalui Dana Pertumbuhan Perniagaan MTDC dan Dana Superseed II Gobi.

Dana itu akan terus membantu syarikat mengembangkan tawaran platform pendanaan awam ekuiti, melancarkan penawaran pertukaran permulaan (IEO) dan platform pasaran sekunder di dalam negara serta memulakan usaha sama yang serupa di peringkat serantau.

MTDC memeterai memorandum persefahaman dengan Pitch Platforms pada tahun 2020 untuk bekerjasama dalam bidang pendanaan awam ekuiti.

Program MTDC-pitchIN membolehkan MTDC menyertai pelaburan pendanaan awam ekuiti sehingga 30 peratus dalam prospek syarikat yang layak bagi setiap kempen.

“Dengan pelaburan tambahan dalam pitchIN ini, MTDC akan dapat memudahkan lagi pengumpulan dana untuk syarikat berasaskan teknologi tempatan melalui platform sumber khalayak dalam talian mereka,” kata MTDC.

Agensi itu juga akan menyediakan perkhidmatan sokongan bersepadu untuk syarikat yang dibiayai termasuk Pengurusan Pusat Teknologi, Akademi Latihan Usahawan Tekno (TENTRA), Centre of 9 Pillars (Co9P) atau Pusat 9 Tonggak dan khidmat nasihat seperti bimbingan, penjenamaan, pengumpulan dana, kerjasama antarabangsa dan rangkaian.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MTDC Mohammad Hazani Hassan berkata pelaburan bersama Gobi Partners ini akan menyokong syarikat teknologi tempatan yang berkembang pesat berpotensi untuk mengembangkan perniagaan mereka, di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Melalui pelaburan bersama ini, beliau berkata syarikat akan mendapat manfaat daripada rangkaian perniagaan yang meluas dan hubungan daripada kedua-dua pihak yang akan mempercepat dan meningkatkan lagi pengembangan syarikat pada masa hadapan.

"Kami menyokong dan percaya bahawa pelaburan bersama ini akan memberi manfaat kepada syarikat teknologi tempatan Malaysia kerana keupayaan mereka untuk mengekalkan dan mengembangkan perniagaan mereka berikutan pandemik baru-baru ini adalah satu lagi sebab untuk perkongsian berterusan kami dengan mereka," katanya.

Mohammad Hazani berkata MTDC juga ingin mempelawa pelabur lain untuk bersama-sama melabur, khususnya dalam sektor teknologi.

Rakan kongsi pengurusan Gobi (Malaysia) Jamaludin Bujang berkata kerjasama pelaburan bersama itu akan membolehkan usahawan terutamanya syarikat pemula niaga dan perusahaan kecil dan sederhana menerima pembiayaan tambahan, terutamanya dalam landskap ekonomi yang mencabar di Malaysia.

“Dengan pelancaran platform Pasaran Sekunder Syarikat dan IEO tahun ini, ini merupakan titik perubahan penting mengenai peningkatan populariti pendanaan awam ekuiti di Malaysia dan itulah sebab mengapa Gobi dan MTDC akan melabur dalam platform pendanaan awam ekuiti terbaik di negara ini, ” katanya.

Sementara itu, CEO Pitch Platform Sam Shafie berkata MTDC dan Gobi Partners membawa pengalaman serta jangkauan pasaran dan syarikat yakin pelaburan mereka akan membawa kepada lebih banyak pertumbuhan di pitchIN.

"Kami berterima kasih kepada mereka kerana keyakinan mereka terhadap visi kami dan berharap dapat bekerjasama dengan mereka semasa kami melancarkan perkhidmatan akan datang dan pengembangan yang dirancang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan