AM

Pantai di Kuala Perlis kini lebih bersih - ADUN

02/02/2023 11:09 AM

Oleh Ahmad Muliady Abdul Majid

KUALA PERLIS, 2 Feb (Bernama) -- Usaha bersungguh-sungguh dan berterusan oleh semua pihak telah berjaya mengubah landskap persisiran pantai Kuala Perlis menjadi lebih bersih berbanding sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah berkata penduduk sekitar Kuala Perlis yang sebahagian besarnya terdiri daripada nelayan telah semakin cakna dengan tanggungjawab menjaga kebersihan.

“Ini adalah hasil usaha bersama yang dilakukan oleh semua pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta individu perseorangan yang tidak jemu menganjurkan pelbagai aktiviti kesedaran dan gotong-royong bagi mengubah mentaliti masyarakat setempat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Abu Bakar berkata beliau juga turun padang setiap minggu bagi mengajak masyarakat bersama menjaga kebersihan menerusi aktiviti gotong-royong sekitar Kuala Perlis.

“Alhamdullilah, sokongan yang diberikan amat menggalakkan dan saya berazam untuk meneruskan lagi mengindahkan Kuala Perlis yang merupakan salah satu kawasan pelancongan di negeri ini.

“Apabila kawasan bersih barulah pelancong seronok datang bagi menikmati keindahan alam yang ada di sini,” katanya.

Pada Disember 2019, Bernama melaporkan Kuala Perlis, Sungai Santan dan Sungai Repoh adalah antara tempat yang teruk tercemar di Perlis akibat perbuatan membuang sampah sesuka hati oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan