KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Cabaran yang berlaku akibat sekatan pergerakan COVID-19 tidak menghalang Premier De Muara Sdn Bhd untuk menyiapkan projek kediaman sulungnya, Picasso Residence.
“Pengenalan semula” projek berkeluasan 1.42 hektar itu terletak di Jalan Jelatek Off Jalan Ampang dan berada di sekitar KLCC.
Walaupun pembinaan projek itu yang dimulakan pada suku kedua 2015 telah diperlahankan terutamanya disebabkan beberapa sekatan pergerakan pada 2020 serta peningkatan kos bahan mentah dan kekurangan buruh, ia kini kembali pada tahap yang pesat.
Projek itu terdiri daripada dua fasa iaitu Menara A dan Menara B, melibatkan sejumlah 472 unit dan nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.08 bilion.
Bercakap kepada pemberita pada pelancaran galeri jualan Picasso Residence di sini hari, Pengarahnya Datuk Andrew Tan berkata, dengan kadar pembelian sebanyak 95 peratus, fasa pertama (Menara A) yang terdiri daripada 270 unit dijangka siap menjelang akhir suku ketiga 2023.
Pada masa ini, jualan fasa kedua Menara B mencatat kadar pembelian sebanyak 20 hingga 30 peratus dan fasa tersebut dijangka siap pada suku keempat 2024.
Tan berkata unit berkenaan yang berkeluasan antara 1,000 kaki persegi sehingga 2,400 kaki persegi yang berharga antara RM1.4 juta hingga RM2.4 juta, bersesuaian untuk golongan ekspatriat dan pembeli berorientasi keluarga sebagai pasaran sasaran utama.
Sementara itu, perunding pemasaran projek berkenaan, Innoventive Consultancy Sdn Bhd menawarkan platform kepada pembeli yang berhasrat untuk membeli hartanah itu menggunakan mata wang kripto.
Ketua Pegawai Eksekutifnya David Hew berkata, platform www.innobrick.com akan membolehkan pembeli dari mana-mana negara untuk membuat pembelian hartanah secara langsung, dalam talian.
“Innobrick.com merupakan platform atau alat, khususnya kepada warga asing untuk membuat pembayaran memandangkan kami mempunyai rangkaian dengan Visa, Master dan UnionPay dan kami adalah yang pertama menerima mata wang kripto,” katanya.
Premier De Muara yang sebelum ini merupakan anak syarikat PRG Holdings Bhd, kini adalah sebuah entiti perniagaan sendiri.
Bagaimanapun, Tan kemudiannya mengambil alih projek berkenaan daripada PRG.
Beliau berkata, suntikan dana baharu kemudiannya diberikan kepada projek berkenaan sekali gus menyebabkan pembinaannya disambung semula sepenuhnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial