DUNIA

KETUA NATO: IMBANGAN KUASA DI INDO-PASIFIK KINI BERALIH PANTAS

31/01/2023 11:49 PM

ANKARA, 31 Jan (Bernama) --  Ketua NATO pada Selasa berkata imbangan kuasa kini pantas beralih di Indo-Pasifik.

Bercakap pada sidang akhbar bersama selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun Kishida Fumio di Tokyo, Jens Stoltenberg berkata: "Dunia berada pada titik perubahan sejarah dalam persekitaran keselamatan yang paling teruk dan kompleks sejak berakhirnya Perang Dunia II."

Beliau berkata keselamatan Euro-Atlantik dan Indo-Pasifik berkait rapat dan keadaan ini memerlukan pengukuhan kerjasama antara Jepun dan perikatan itu, lapor Agensi Anadolu.

NATO dan Jepun berpandangan bahawa perubahan unilateral status quo secara paksaan tidak boleh diterima di mana-mana bahagian dunia, katanya.

Stoltenberg menekankan bahawa pakatan itu menentang keras sebarang percubaan unilateral untuk mengubah status quo secara paksaan di Laut China Timur dan memberi amaran tentang peningkatan keupayaan ketenteraan China.

“Mengenai pengukuhan pesat keupayaan ketenteraan China dan pengembangan aktiviti ketenteraannya, kami menggalakkan China untuk meningkatkan ketelusan dan bekerjasama secara konstruktif dengan usaha antarabangsa untuk kawalan dan pelucutan senjata,” katanya.

Menurut Agensi Anadolu, Stoltenberg berkata kedudukan perikatan itu di Taiwan tidak berubah sambil menggesa penyelesaian aman untuk masalah itu.

Mengenai Korea Utara, beliau berkata: “Kami menggesa Korea Utara mematuhi sepenuhnya semua resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan dan menghentikan program senjata nuklear sedia ada serta sebarang senjata pemusnah besar-besaran selain program peluru berpandu balistik secara lengkap, boleh disahkan dan dalam cara ia tidak lagi dapat digunakan semula.”

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan