KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Cabang pembiayaan Proton Holdings Bhd (Proton), Proton Commerce Sdn Bhd, memecahkan rekod baharu pada 2022 dengan 22,467 pinjaman dikeluarkan kepada pembeli Proton, mewakili pertumbuhan volum sebanyak 54 peratus berbanding pada 2021.
Dalam satu kenyataan, Proton berkata pertumbuhan untuk tahun keempat berturut-turut mendorong jumlah jualan kepada 141,432 unit, jumlah tertinggi bagi syarikat sejak 2013, membolehkannya mengekalkan tempat kedua dalam jadual jualan automotif nasional.
“Angka itu dicapai selepas lapan daripada 12 bulan mencatat lebih daripada 2,000 pinjaman dengan bulan September mencapai angka tertinggi sepanjang masa iaitu sebanyak 2,872,” katanya.
Ia berkata, pada masa yang sama perkembangan jumlah pengeluaran dicerminkan dengan peningkatan dalam kadar kelulusan pinjaman dengan Mei dan Jun mencapai kadar kelulusan tertinggi sepanjang masa sebanyak 59 peratus.
Selain itu, satu lagi pencapaian syarikat tahun lepas yang boleh diraikan ialah pencapaiannya untuk menjadi pembiaya utama bagi Proton Saga, model paling popular dalam rangkaian Proton.
Bermula daripada suku keempat tahun 2021, Proton Commerce menjadi peneraju pasaran untuk model itu selama lima suku berturut-turut dan pada November, 32 peratus daripada jumlah unit Proton Saga dibiayai olehnya, satu lagi tanda tinggi baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Commerce Mooi Fi Phang berkata Proton menghadapi permulaan yang sukar bagi 2022 dan ini memberi kesan kepada Proton Commerce.
Walau bagaimanapun, syarikat sempat memulihkan keadaan dan menebus semula peluang yang terlepas untuk muncul dengan rekod pengeluaran baharu.
“Untuk tahun 2023, kami menyasarkan untuk meningkatkan volum dan kadar kelulusan yang lebih tinggi lagi dengan mengambil kesempatan terhadap populariti berterusan model Proton serta pengenalan model baharu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial