AM

PEMBANGUNAN PROJEK PPR DI LARKIN DIPERTIMBANGKAN

30/01/2023 09:11 PM

JOHOR BAHRU, 30 Jan (Bernama) -- Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pihaknya merancang untuk mengangkat cadangan pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Larkin untuk dipertimbangkan oleh pihak kementerian dalam Belanjawan 2023.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata ada dua tapak cadangan bagi pembinaan PPR di kawasan berkenaan yang dicadangkan, iaitu di Kawasan Perindustrian Larkin (Dato Onn) dan kawasan berdekatan Kampung Ungku Mohsin.

Beliau berkata terdapat keperluan untuk membina PPR berkenaan ketika ini, antaranya bagi menampung kepadatan penduduk di Larkin, dan pada masa yang sama kerajaan negeri juga telah menyatakan kesediaan bagi menjayakan projek itu.

“Sememangnya menjadi hasrat Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memastikan kesinambungan pembinaan rumah untuk rakyat. Sementara Belanjawan 2023 belum dibentang, maka ada ruang untuk mengangkat beberapa cadangan pembinaan sebelum diberi kata putus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat tapak pembinaan PPR Larkin di Kawasan Perindustrian Larkin (Dato Onn), di sini, hari ini, yang turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan