AM

Panglima Tentera Laut diraikan dalam majlis persaraan di Pangkalan TLDM Lumut

27/01/2023 01:30 AM

IPOH, 26 Jan (Bernama) -- Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany hari ini diraikan warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Lumut sempena persaraan beliau.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut dalam kenyataan memaklumkan Mohd Reza yang mula mengambil alih tampuk pemerintahan TLDM pada 30 Nov 2018 akan bersara wajib pada 13 Ogos depan setelah 42 tahun berkhidmat. 

Menurut kenyataan itu, sepanjang beliau memegang jawatan Panglima Tentera Laut, tahap kesiapsiagaan armada TLDM menjadi fokus utama agar tanggungjawab mempertahankan kedaulatan sempadan maritim negara dapat dilunaskan tanpa kompromi walaupun berhadapan dengan pelbagai kekangan dan situasi global yang mencabar.

"Beberapa inisiatif telah direalisasikan semasa pemerintahan beliau, khususnya bagi menangani aset usang TLDM antaraya 'Obsolescence Programme' (OP) dan Program Repowering. Kedua-dua program ini dilaksanakan ke atas kapal-kapal TLDM yang telah berusia. 

"OP bertujuan menggantikan struktur (badan kapal) serta keseluruhan sistemnya, kecuali beberapa peralatan legasi seperti meriam. Kapal-kapal yang terlibat dalam program ini adalah dari Skuadron Fast Attack Craft (FAC) M," menurut kenyataan itu.

Sehingga kini sebanyak sebuah kapal dalam proses akhir OP dan dua buah lagi akan dilaksanakan dalam masa terdekat manakala lapan kapal telah selesai menjalani Program Repowering yang dijalankan untuk menggantikan sistem kuasa gerak iaitu enjin, kotak gear dan 'propeller' serta sistem jana kuasa bagi kapal dari skuadron FAC (G). 

"Hasil daripada kedua-dua program ini, bukan sahaja telah meningkatkan kesiagaan dan keupayaan operasi Armada, malah menjadi inisiatif berkesan dalam menyokong langkah penjimatan sumber kewangan negara," menurut kenyataan itu.

Sempena majlis penghargaan hari ini, pelbagai aktiviti rasmi dilaksanakan antaranya Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Laut, Majlis Ramah Mesra bersama warga TLDM, Street Lining dan Fleet Review.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan