AM

Tanah Runtuh: Kami tidak patah semangat cari mangsa hilang - Bomba

20/12/2022 05:12 PM

BATANG KALI, 20 Dis (Bernama) -- Anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) insiden tanah runtuh di Tapak Perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di sini, tidak berputus asa dan patah semangat dalam menjalankan tugas pencarian yang kini memasuki hari kelima.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Hafisham Mohd Noor berkata bahkan ada antara mereka yang enggan keluar dari lokasi pencarian walaupun dibenarkan untuk berehat.

"Anggota terlibat terus menunjukkan semangat jitu dan perasaan berkobar-kobar untuk mengesan baki mangsa yang masih hilang. 

“Mereka mungkin rasa sayang nak tinggalkan scene (tempat kejadian) sebab sudah bertungkus-lumus dari awal,” katanya kepada Bernama di Pos Kawasan Tempat Kejadian.

Bagaimanapun, Hafisham berkata keselamatan dan kesihatan pasukan pencari tetap diutamakan dan mereka perlu mendapatkan rehat secukupnya bagi meneruskan operasi pencarian.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yakin barisan petugas dapat memberikan komitmen penuh dalam melaksanakan misi SAR berkenaan.

Selain bomba dan polis, tiga agensi lain terbabit seperti yang digariskan arahan Majlis Keselamatan Negara nombor 20 (MKN 20) ialah Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia.

Dalam kejadian sekitar 2.42 pagi Jumaat, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter menimpa tapak perkhemahan yang terletak di Jalan Genting-Batang Kali.

Setakat 4 petang ini, sembilan mangsa masih hilang manakala 24 lagi terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa terlibat dalam kejadian itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan