AM

Batang Kali: Operasi SAR dipergiat dengan penambahan jentera pada hari keempat

19/12/2022 10:21 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Hari keempat Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, dekat Batang Kali, terus dipergiat dengan penambahan aset dan diperluaskan di luar kawasan operasi seperti di sungai dan lokasi sekitar.

Setakat jam 8 malam ini, sembilan mangsa masih hilang dengan 24 mangsa disahkan maut dan 61 mangsa selamat dalam kejadian awal Jumaat lalu.

Pasukan SAR hari ini menerima dua lagi jentera berat baharu jenis PC 210 LC-10M milik 91 Rejimen Askar Jurutera Diraja (91 Rej Bantuan RAJD) Kem Batu Kentonmen, di sini, yang dibawa khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada sekitar jam 2 petang tadi.

Penambahan dua jentera berat berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan jentera pengaut yang digunakan dalam operasi SAR itu adalah sebanyak 10, selain penggunaan dua alat Ground Penetrating Radar yang digunakan sejak semalam, bagi membantu proses pencarian mangsa insiden runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter (m) dan setinggi 70m itu.

Sementara itu, tujuh anggota pasukan ‘sweeper’ daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah digerakkan di luar lokasi utama bencana ( ground zero) memandangkan penggalian runtuhan tanah di kawasan disektorkan sudah capai tahap negatif iaitu sehingga mencecah tanah asal tapak perkhemahan.

Penolong Pengarah Operasi JBP Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata fokus pencarian pasukan ini ialah di kawasan aliran sungai yang keruh bagi mencari mangsa di situ namun tinjauan di semua lokasi dikenal pasti masih gagal untuk membuat sebarang penemuan.

Sementara itu, perkembangan situasi pada hari keempat operasi SAR itu dilaporkan bahawa lebih 80 peratus kawasan runtuhan tanah di lokasi kejadian telah diperiksa anggota penyelamat.

Pengarah JBPM Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata walaupun tinggal kira-kira hanya 20 peratus kawasan pencarian, keselamatan anggota penyelamat juga perlu diambil kira.

“Tanah di sini sememangnya lembut dan apabila ditambah dengan air hujan, ia menyebabkan struktur tanah menjadi lembap dan lemah, susah nak bergerak dalam keadaan macam ini,” katanya kepada Bernama.

Strategi operasi SAR telah dibahagikan kepada tiga sektor iaitu sektor A (Hill View), sektor B (Farm View) dan sektor C (River View) melibatkan kerjasama lima agensi utama kerajaan serta beberapa agensi sokongan lain, menurut Norazam.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Suffian Abdullah dalam sidang media tengah hari tadi, berkata polis akan memanggil lebih ramai individu bagi membantu siasatan insiden tanah runtuh tersebut termasuk mangsa-mangsa yang terselamat.

Menurutnya, proses berkenaan mungkin dilakukan dalam tempoh seminggu dua lagi memandangkan kebanyakan mangsa yang merupakan warga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong, ketika ini masih trauma.

Kelmarin, polis telah memanggil tiga individu iaitu pengusaha tapak perkhemahan berkenaan dan dua pekerjanya bagi membantu siasatan berhubung insiden itu.

Bencana runtuhan tanah yang berlaku pada jam 2.42 pagi pada 16 Dis lepas, telah meragut 24 nyawa daripada keseluruhan 94 mangsa, manakala 61 terselamat dan sembilan masih hilang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan