IPOH, 23 Okt (Bernama) -- Edisi kelima program Kembara RIUH Keluarga Malaysia (KRKM) 'RIUH BENOR!’ di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini memberi peluang kepada pengusaha kedai kopi sekitar bandar raya ini memperkenalkan perniagaan mereka dengan lebih meluas.
Tinjauan Bernama mendapati rata-rata peniaga kedai kopi yang terpilih untuk membuka gerai jualan sempena program tiga hari yang bermula Jumaat lepas adalah dalam kalangan mereka yang memulakan perniagaan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pemilik Espresso Street Coffee, Emerul Fareez Mohd Nazeri, 32, berkata beliau yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam industri kopi membuka perniagaan sendiri menerusi jualan but kereta pada Februari tahun lepas.
Emerul Fareez berkata beliau kemudian memajukan perniagaannya dengan berpindah ke premis kedai di Dataran Sunway City, Tambun sebelum membuka cawangan di Taman Rekreasi Gunung Lang di sini.
"Saya tidak melepaskan peluang membuka gerai di program ini untuk memperkenalkan budaya kopi yang baik untuk kesihatan dalam kalangan pengunjung. Minuman kopi jenis Arabica yang ditawarkan terdiri daripada tiga jenis tahap pemanggangan yang memberi rasa kopi berbeza.
"Pada program ini, kira-kira 250 cawan kopi berjaya dijual dalam sehari. Walaupun ada beberapa gerai kopi lain, kopi kami mempunyai keunikan dan rasa tersendiri," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Pengusaha Kedai Kopi Depan Rumah (KDR), Wan Zulfadhli Intizam, 32, pula berkata beliau tidak mahu melepaskan peluang menyertai ‘RIUH BENOR! bagi mempromosikan kopinya kepada orang ramai.
“Sepanjang tiga hari karnival ini berlangsung, sambutan lebih daripada jangkaan kerana pengunjung yang hadir adalah dari seluruh negara sehinggakan jualan mencecah 200 hingga 300 cawan sehari," katanya dan menambah kopi yang sering menjadi pilihan ramai adalah Strawberi Latte dan KDR Dolce Latte.
Program KRKM yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Kumpulan MyCreative (MyCreative) bertujuan memperkasa penggiat dan usahawan industri kreatif tempatan di seluruh negara dan menghubungkan komuniti kreatif dengan masyarakat, mencerminkan keprihatinan dan komitmen kerajaan dalam memulihkan industri kreatif susulan pandemik COVID-19.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial