AM

DUN N.SEMBILAN LULUS ENAKMEN ANTI LOMPAT PARTI, TANAH ADAT

17/10/2022 03:15 PM

SEREMBAN, 17 Okt (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (Pindaan) 2022 bagi membolehkan Enakmen Anti Lompat Parti dilaksanakan di negeri ini.

Usul pindaan tersebut dibawa oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan disokong sebulat suara oleh Ahli Dewan ketika sidang DUN Khas sempena Persidangan Ketiga Penggal Kelima DUN ke-14 di sini hari ini.

Aminuddin ketika membentangkan RUU itu berkata ia bertujuan meminda, memansuhkan peruntukan sedia ada serta memasukkan peruntukan baharu dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar parti.

“Kerajaan negeri memandang serius tindakan bertukar parti yang menimbulkan banyak perdebatan dalam kalangan masyarakat. Ini kerana ia melibatkan mandat dan kepercayaan rakyat yang memilih wakil rakyat mereka di DUN,” katanya.

Terdahulu, Anthony Loke Siew Fook (PH-Chennah) berkata RUU berkenaan bukan sahaja berupaya mengembalikan kestabilan selepas pilihan raya malah paling utama bagi meraih kembali keyakinan pengundi yang dilihat hilang kepercayaan kepada sistem politik negara.

“Kalau tiada undang-undang sebegitu, pengundi merasakan tiada maknanya pergi buang undi, kerana bila dan lepas pilih, wakil rakyat tukar cerita, lompat parti sehingga menyebabkan pengundi muak kepada orang politik.

“Ahli politik mesti sama-sama cuba untuk perbetulkan sistem itu untuk kembalikan keyakinan rakyat, biarlah kita bermaruah, menang atau tidak itu ditentukan rakyat… Walau apa kedudukan pun kita mesti kekal berprinsip,” katanya.

Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) berkata RUU itu amat penting dilaksanakan di peringkat Parlimen dan DUN bagi menentukan kestabilan dan kekuatan kerajaan sekali gus menghormati mandat rakyat.

Sementara itu, kerajaan Negeri Sembilan turut meluluskan RUU Pemegangan Tanah Adat Luak Tanah Mengandung Dan Tanah Adat Lingkungan 2022 selepas mendapat sokongan majoriti ahli dewan.

Aminuddin ketika mencadangkan bacaan kali pertama RUU tersebut berkata pindaan berkenaan memfokuskan kepada lima matlamat termasuk menyediakan teks sahih dalam Bahasa Melayu selain mengemas kini undang-undang berkenaan selari dengan perkembangan hal ehwal tanah pada masa kini.

Beliau berkata peruntukan baharu dalam RUU akan membolehkan tanah adat luak tanah mengandung dan tanah adat lingkungan di Kuala Pilah dan Jempol dibangunkan tanpa perlu membatalkan status tanah adat berkenaan sekali gus boleh menyelesaikan masalah tanah adat yang terbiar dan tidak terjaga.

Dalam pada itu, Mohamad turut meminta penjelasan sama ada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan telah mengarahkan kerajaan negeri untuk meminda RUU berkenaan supaya tidak timbul masalah di kemudian hari. 

“Apa yang kita lakukan hari ini adakah ia mengikut Perlembagaan atau tidak? Seingat saya, apa sahaja berkenaan adat mesti diputuskan oleh Dewan Keadilan… keputusan Dewan Keadilan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

“Saya minta perkara ini dibuat dengan berhati-hati dalam meminda undang-undang ini, perlu fikir panjang kerana jika ia dilakukan tanpa dibuat penyelidikan, tanpa memikirkan impak ia akan menjadi satu masalah pada masa depan,” katanya.

Persidangan ditangguhkan pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan