AM

SYOR TANGANI KEKURANGAN BEKALAN TELUR GRED KAWALAN KE MESYUARAT KABINET ESOK

06/10/2022 08:15 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Cadangan bagi menangani kekurangan bekalan telur gred tertentu dibawa ke mesyuarat Kabinet esok, kata Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata hanya bekalan telur bagi gred-gred yang diletakkan harga kawalan didapati berkurangan di pasaran berikutan subsidi kerajaan didakwa tidak cukup menarik bagi pengeluar.

“Telur gred A, B, C itu ada harga kawalan supaya harga yang ditetapkan tidak melambung terlalu tinggi dan kerajaan membuat intervensi memberikan subsidi sebanyak 3 sen secara berterusan… dan itu menyebabkan tanggungan kerajaan RM34 juta sebulan untuk subsidikan 3 sen bagi telur gred tersebut.

“Kita dapati kekurangan itu kerana subsidi 3 sen didakwa pengeluar dan pengedar sebagai tidak cukup menarik kerana kos mereka lebih tinggi, maka mereka keluarkan lebih banyak telur yang tiada harga kawalan (telur omega dan gred-gred lain),” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau berkata pengesyoran yang dikemukakan pada mesyuarat jawatankuasa hari ini adalah untuk menyemak semula  jumlah subsidi diberikan kepada pengeluar telur bagi gred A, B dan C ke satu tahap baharu.

“Oleh kerana ini diluar skop yang boleh diluluskan oleh jawatankuasa maka perkara ini akan dibawa ke jemaah menteri esok kerana sebarang kenaikan (subsidi) melibatkan implikasi kewangan kerajaan,” katanya.

Mengenai bekalan minyak masak, beliau berkata jawatankuasa berkenaan akan mencadangkan kepada mesyuarat Jemaah Menteri esok bagi mendapatkan kelulusan untuk bekalan tambahan minyak masak sebanyak 5,000 metrik tan.

Beliau berkata ini membolehkan bekalan tambahan minyak subsidi dalam plastik dikeluarkan untuk mengimbangi bekalan daripada sedia ada iaitu sebanyak 60,000 metrik tan seterusnya memastikan bekalan sampai kepada pusat-pusat tertentu termasuk di program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM).

"Maka minyak masak dalam plastik dengan harga RM2.50 akan ditambah jumlahnya, supaya lebih ramai mendapat bekalan minyak masak bersubsidi dalam plastik," katanya.

Sementara itu, Annuar berkata JMKM sedang dilaksanakan di 585 premis seluruh negara, angka terbesar sejak program itu dilancar dan telah mencapai 92 peratus daripada sasaran jumlah premis yang melaksanakan program itu.

Mengulas mengenai JMKM @ DE Dagang oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi tempoh 19 hingga 25 Sept lepas, beliau berkata dianggarkan 15 juta rakyat menerima manfaat dalam bentuk diskaun, rebat dan subsidi penghantaran bagi barangan yang dibeli secara dalam talian. 

Annuar berkata daripada jumlah itu, sebanyak 241,000 peniaga dan kira-kira 49,000 daripada jumlah itu adalah peniaga baharu dan 91,000 melibatkan peniaga wanita menerima manfaat daripada program berkenaan. 

Beliau berkata sejumlah RM741.38 juta nilai barangan dagangan dijana menerusi program itu dan sebanyak 15 juta transaksi pembelian direkodkan sejak program dilancarkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan