DUNIA

Menteri Luar Kemboja tekankan pentingnya ketersambungan ASEAN dipertingkat

04/10/2022 04:11 PM

PHNOM PENH, 4 Okt (Bernama) -- Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn menekankan perlunya ketersambungan ASEAN (Persatuan Negara-negara Asia Tenggara) dipertingkat, memandangkan rantau dengan ketersambungan baik penting dalam membangunkan Komuniti ASEAN yang inklusif, mampan dan berdaya tahan, menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan lewat Isnin.

Sokhonn membuat kenyataan itu pada Simposium Ketersambungan ASEAN ke-13 di Phnom Penh, yang dihadiri lebih 160 peserta, termasuk ahli Jawatankuasa Penyelaras Ketersambungan ASEAN (ACCC), wakil badan sektor ASEAN, rakan dialog dan rakan kongsi luar yang lain, organisasi pelbagai hala, dan sektor swasta, kata Xinhua.

"Masa depan wilayah ini bergantung kepada daya saing serantau kita, yang hanya boleh direalisasi oleh wilayah dengan ketersambungan baik dan bertindak secara serentak," katanya.

"Rantaian bekalan serantau kita perlu kekal cekap dan berdaya tahan, dan ASEAN perlu melibatkan diri dengan rakan pembangunannya untuk memulakan pelbagai inisiatif ketersambungan dan projek kerjasama di seluruh rantau kita," katanya.

Beliau berkata bagi ASEAN, pendekatannya adalah memaksimumkan sinergi pelbagai inisiatif ketersambungan sedia ada untuk medapatkan nilai tambah yang diperlukan.

Sokhonn, yang juga timbalan perdana menteri Kemboja, turut menggariskan bahawa pelaksanaan perdagangan bebas mega Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), akan memacu ekonomi rantau ini.

Pada majlis itu, Setiausaha Agung ASEAN Lim Jock Hoi menekankan perlunya ASEAN yang berdaya tahan, mampu menyesuaikan diri, dan responsif terhadap keperluan yang sentiasa berubah.

“Sementara kami terus merancang untuk masa depan, kami perlu membina hubungan dinamik bagi merancang untuk masa depan dan pada masa yang sama mengambil tindakan,” katanya.

Beliau juga berkata ASEAN mesti bekerjasama dengan semua rakan kongsi dalam jangka pendek, sederhana dan panjang, dan menunjukkan bahawa sumber yang mereka laburkan di rantau ini akan memberi manfaat kepada mereka seperti manfaatnya kepada ASEAN.

Hidetoshi Nishimura, presiden Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA), menekankan pentingnya sambungan digital dalam pelaksanaan Pelan Induk mengenai Ketersambungan  ASEAN (MPAC) 2025.

Beliau merujuk kepada tugas ERIA mengenai Pelan Pembangunan Asia Komprehensif (CADP) 3.0, yang mengetengahkan strategi untuk mewujudkan ekonomi yang lebih bersepadu, inovatif, inklusif dan mampan di ASEAN dan Asia Timur, dengan mempromosi ketersambungan fizikal dan digital di rantau ini.

“Saya amat yakin bahawa CADP 3.0 ini akan menyumbang kepada memperkukuh hubungan ASEAN selepas 2025,” katanya.

ASEAN dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan