AM

1,300 penduduk Uma Badeng di pedalaman Sarawak nikmati bekalan elektrik, air 24 jam

03/10/2022 12:19 AM

SIBU, 2 Okt (Bernama) -- Kira-kira 1,300 penduduk Kampung Uma Badeng di Long Busang, Bahagian Kapit menjadi antara rakyat pedalaman Sarawak, yang terkini menerima manfaat daripada pelaksanaan Skim Pembekalan Elektrik Luar Bandar Sarawak (SARES) dan Skim Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS).

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata melalui pelaksanaan skim berkenaan, penduduk di kampung tersebut kini mampu menarik nafas lega kerana dapat menerima bekalan elektrik serta bekalan air paip bersih 24 jam.

Beliau berkata walaupun Long Busang terletak jauh di pedalaman, iaitu kira-kira enam jam perjalanan dari Bandar Kapit, bekalan elektrik 24 jam dapat disalurkan melalui kaedah elektrik `off-grid’ di bawah SARES yang menelan kos kira-kira RM7 juta, yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

“SARES merupakan satu projek bersifat komuniti, kerana akan diserahkan sepenuhnya kepada penduduk setempat untuk penyelenggaraan bukan teknikal dan pada masa yang sama, SEB (Sarawak Energy Berhad) akan terus melakukan pemantauan teknikal secara berkala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Julaihi berkata penduduk setempat dapat menjimatkan perbelanjaan, kerana tidak perlu lagi mengeluarkan kos banyak untuk membeli minyak diesel untuk mesin janakuasa elektrik, kerana skim ini tidak mengenakan apa-apa bayaran kepada mereka.

Beliau berkata SAWAS di Long Busang siap September lepas, dengan menelan kos sebanyak RM3.46 juta yang melibatkan sistem rawatan air, tangki takungan air dan saluran paip ke setiap isi rumah di kampung tersebut.

Menyentuh tentang permasalahan telekomunikasi di kampung tersebut, beliau memberitahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah meluluskan projek pembinaan satu menara telekomunikasi dan sedang mencari tapak sesuai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan