AM

Pendataan digital selesai masalah pendatang asing di Sabah - Ketua Menteri

02/10/2022 04:27 PM

KOTA KINABALU, 2 Okt (Bernama) -- Isu pendatang asing tanpa izin yang telah membelenggu rakyat Sabah sejak sekian lama akan diselesaikan secara tuntas melalui pendataan digital bagi mendapatkan jumlah sebenarnya di negeri ini, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata pendataan dibuat terhadap semua pendatang asing untuk memastikan mereka mempunyai dokumen yang sah untuk tinggal dan bekerja di negeri ini manakala undang-undang sedia ada akan dilaksanakan terhadap mereka yang tidak mempunyai dokumen tersebut.

"Fasa berikut selepas selesai pendataan digital ialah fokus penyeragaman dokumen bagi memastikan semua berada di Sabah didokumenkan secara teratur," katanya berucap merasmikan majlis penutupan Program ‘Kita Demi Negara’ Zon Sabah anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan dihadiri menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, di Dataran Kompleks Sukan Likas, di sini, hari ini. 

Sementara itu, Hajiji menegaskan kerajaan Sabah tidak teragak-agak mempertingkatkan tahap keselamatan di negeri ini kerana aspek itu amat penting terutama dengan kedudukan Sabah yang bersempadan dengan beberapa negara jiran.

Beliau berkata ini juga kerana Sabah, negeri kedua terbesar di Malaysia, mempunyai kawasan pesisir pantai yang panjang serta lebih daripada 40 buah pulau amat terdedah kepada pelbagai ancaman keselamatan antaranya pendatang asing, pencerobohan nelayan asing, sempadan antarabangsa dan isu kewarganegaraan.

Katanya, langkah meletakkan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan strategik di pendalaman Sabah merupakan langkah tepat bukan sahaja bagi mengekang kemasukan ancaman pasa masa ini tetapi juga langkah proaktif mengekang ancaman luar.

"Usaha KDN melaksanakan inisiatif pengeluaran dokumen imigresen dan pendaftaran di pos kawalan Imigresen dengan pos kawalan Imigresen Pagalungan, Nabawan, sebagai projek rintis memudahkan penduduk mendapatkan perkhidmatan Jabatan Imigresen Malaysia selain daripada Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan