DUNIA

BEKAS PRESIDEN SRI LANKA BOLEH MASUK KE THAILAND

10/08/2022 09:41 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 10 Ogos (Bernama) -- Bekas Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa boleh masuk ke Thailand seperti yang diminta oleh kerajaan negaranya, tetapi untuk tempoh sementara.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan dan Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Tanee Sangrat dalam satu kenyataan berkata pertimbangan untuk membenarkan Gotabaya masuk adalah berdasarkan hubungan mesra yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara.

“Sebagai pemegang pasport diplomatik Sri Lanka, bekas presiden (Gotabaya) boleh masuk ke Thailand tanpa visa untuk tempoh 90 hari, mengikut Perjanjian Pengecualian Visa 2013 antara Thailand dan Sri Lanka.

“Beliau boleh tinggal sementara dengan tujuan perjalanan seterusnya. Tidak ada permohonan suaka politik,”  katanya ketika diminta mengulas laporan mengenai pergerakan Gotabaya ke Thailand dari Singapura.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan bila Gotabaya akan tiba tetapi media tempatan melaporkan  beliau dijangka tiba di Thailand pada Khamis.

Thailand akan menjadi negara persinggahan sementara kedua Gotabaya di Asia Tenggara. Bekas presiden itu melarikan diri dari Sri Lanka pada Julai ke Singapura pada 14 Julai melalui Maldives di tengah-tengah bantahan besar-besaran terhadap krisis ekonomi terburuk negara pulau itu dalam tempoh tujuh dekad.

Bulan lalu, kementerian luar Singapura mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan bahawa Gotabaya dibenar masuk ke Singapura atas kapasiti "lawatan peribadi".

Jurucakap MFA Singapura berkata Gotabaya tidak meminta suaka dan tidak diberikan sebarang suaka.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan