Oleh Amiril Muttaqien Meketar
BIRMINGHAM, 9 Ogos (Bernama) -- Bagi peminat sukan di Malaysia, mereka mungkin mengenali Birmingham sebagai tuan rumah kepada kejohanan badminton tertua di dunia All England ataupun sebagai tempat asal kelab bola sepak England, Birmingham City Football Club.
Bagaimanapun tahun ini, bandar raya terbesar di United Kingdom (UK) itu menjadi tuan rumah kepada Sukan Komanwel edisi ke-22, yang juga merupakan temasya sukan terbesar dianjurkan di England selepas Sukan Olimpik London 2012.
Penduduk Birmingham yang dikenali sebagai ‘Brummies’ mengucapkan selamat tinggal kepada para atlet temasya tersebut yang menutup tirai semalam dan pastinya, penganjuran kejohanan sukan setiap empat tahun itu meninggalkan impak berpanjangan kepada bandar raya itu dan West Midlands secara keseluruhan.
Penduduk di pusat bandar, Louisa Lewis, 34, gembira melihat Birmingham menjadi bandar ketiga dipilih sebagai tuan rumah acara tersebut selepas London 1934 dan Manchester 2002, memandangkan penganjuran itu membuka ruang kepada orang ramai terutama peminat sukan di seluruh dunia untuk lebih mengenali Birmingham.
“Birmingham kaya sejarah, menarik untuk dikunjungi, penganjuran Sukan Komanwel di England semula terutama di sini adalah sesuatu yang baik,” katanya kepada Bernama.
Bagi sukarelawan temasya itu, David Dickinson, 64, beliau percaya Sukan Komanwel akan memberi pendedahan kepada masyarakat di seluruh dunia tentang Birmingham yang mempunyai pelbagai keistimewaan, khususnya kepada pelancong.
“Bukan sahaja pusat bandar, dari tempat makan yang menarik, hospitaliti dan keramahan penduduknya, pada saya Birmingham telah menjadi tempat yang hebat untuk diduduki sepanjang temasya.
“Malah temasya ini telah berlangsung dengan sangat baik dari hari pertama lagi, apabila semua acara dianjurkan dengan teratur. Semua pihak terlibat kelihatan gembira dan berpuas hati dapat menganjurkan temasya yang hebat ini,” katanya.
Dikenali sebagai ‘city of 1000 trades’ (bandar pelbagai perniagaan) Birmingham juga adalah wilayah yang dipenuhi bandar-bandar sibuk dan meriah, kawasan luar bandar yang indah, tempat-tempat pelancongan bertaraf dunia dan pelbagai tarikan mempesona di tengah-tengah UK.
Jika anda ke Birmingham, tidak perlu risau kerana bandar ini mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik dihubungkan oleh kereta api, jalan raya dan laluan air, iaitu pelancong boleh makan angin dari Edgbaston ke Cadbury World, menerokai kawasan industri menerusi jaringan terowong Dudley atau berkayak di laluan air terkenal yang membawa anda ke tarikan terbaru bandar raya itu Roundhouse.
Pencinta makanan pula disajikan banyak pilihan terutama hidangan berkelas dunia, memandangkan terdapat lebih banyak restoran bertaraf Michelin di Birmingham berbanding bandar raya lain di UK, selain London.
Peminat coklat mungkin sudah mengetahui bahawa Birmingham adalah tempat kelahiran coklat terkenal Cadbury, 115 tahun dahulu oleh John Cadbury, yang membuka kedainya di 93 Bull Street di pusat bandar.
Bandar raya ini juga mempunyai banyak khazanah seni dan budaya seperti Shakespeare, persembahan penari terhebat dunia di Birmingham Royal Ballet atau terus sahaja ke Birmingham Museum and Art Gallery.
Dari kedai-kedai di jalan utama dan pusat beli-belahnya yang luas, kepada kedai perseorangan yang unik dan pasar tani, bandar raya ini menawarkan pengalaman beli-belah menarik seperti di Birmingham’s Bullring dan Grand Central, Lower Precinct dan Central Six di Coventry, serta Touchwood di Solihull.
Jika anda peminat siri televisyen popular Netflix, Peaky Blinders, Birmingham adalah tempat wajib untuk anda kunjungi untuk menikmati Jelajah Peaky Blinders di sekitar Digbeth iaitu tempat asal siri itu dihasilkan, serta melawat lokasi drama itu dirakamkan di The Black Country Living Museum dan banyak lagi tempat menarik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial