SUKAN

Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia tarik penyertaan 3,500 delegasi dari 110 negara - PMM

08/08/2022 04:15 PM

PETALING JAYA, 8 Ogos (Bernama) -- Seramai 3,500 delegasi termasuk atlet daripada 110 negara telah mengesahkan penyertaan bagi Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini, bermula esok (9 Ogos) sehingga 20 Ogos ini. 

Setiausaha Agung Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) Dr John Mohd Abd Rahim berkata kejohanan antarabangsa itu adalah kali kedua buat Malaysia sebagai tuan rumah selepas yang pertama iaitu Kejohanan Muay Thai Dunia di Langkawi pada 2014.

Beliau berkata lebih 200 kategori dipertandingkan bagi peringkat umur bermula lapan hingga 17 tahun dan Malaysia mempunyai lebih 70 atlet muda yang akan menggalas cabaran dalam setiap kategori lelaki dan wanita.

“Sebenarnya kejohanan ini mampu mengumpulkan lebih banyak penyertaan tetapi atas faktor logistik yang menyaksikan harga tiket penerbangan semakin meningkat, jadi banyak yang tidak dapat nak hantar pasukan. 

“Kita sasarkan kejohanan ini mampu beri keuntungan sehingga RM50 juta kepada negara. Kejohanan dunia 2014 di Kedah telah berjaya kutip RM30 juta,” katanya pada sidang media kejohanan di sini hari ini.

Meskipun kejohanan itu bakal disertai atlet terbaik dunia, John Mohd berkata Malaysia menyasarkan pencapaian memberangsangkan, namun beliau enggan mendedahkan jumlah kutipan pingat emas yang ditetapkan.

Beliau berkata atlet yang mewakili Malaysia terdiri daripada mereka yang pernah beraksi di pentas kejohanan tertinggi antaranya kejohanan dunia dan Sukan SEA manakala sebahagian yang lain merupakan atlet Sukan Malaysia (Sukma).

Sementara itu, atlet muda muay negara Raja Izzati Nabiha Raja Anuar yang berbangga kerana dapat beraksi di kejohanan dunia di laman sendiri berkata beliau berazam untuk memperbaiki pencapaiannya selepas merangkul gangsa dalam dua edisi sebelum ini di Turkiye pada 2019 dan Thailand tahun lepas.

“Saya bangga sebab dapat wakil Malaysia pada umur 17 tahun, jadi saya nak buat yang terbaik, Insya-Allah saya nak dapat pingat. Saya banyak buat latihan dan sparring untuk menghadapi kejohanan ini,” katanya yang akan beraksi dalam kategori 16-17 tahun 45 kilogram (kg).

Pada masa sama, Raja Izaffudin Petra Raja Anuar yang pernah membuat penampilan pada edisi 2019 berharap tuah sebagai tuan rumah mampu membantu beliau dalam misi merangkul pingat sulung di kejohanan berprestij itu bagi kategori 14-15 tahun 38 kg.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan