AM

KAJIAN PELABUHAN BAHARU BERSEPADU LABUAN DILAKSANA TAHUN DEPAN - WEE

08/08/2022 01:35 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) akan melaksanakan kajian bagi memperincikan cadangan pembinaan projek Pelabuhan Baharu Bersepadu Labuan bermula tahun hadapan, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kajian itu juga telah menerima kelulusan daripada pihak Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) untuk dilaksanakan selama setahun.  

“Saya lihat asas yang sudah dibina di pelabuhan ini banyak yang kita perlu lakukan. Sebab itu baru-baru ini kita sudah luluskan satu cadangan untuk kita adakan kajian selama satu tahun dan kita ingin mulakan tahun hadapan.

“… dari segi kosnya, sama-sama kita tunggu kajian ini dan kita akan rencanakan. Dalam keadaan ini, kita perlu lihat secara terperinci apa komponen-komponen yang kita boleh laksanakan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Bashir Alias mengenai perkembangan terkini cadangan pembinaan projek Pelabuhan Bersepadu Labuan yang dirancangkan di kawasan Rancha-Rancha. 

Wee berkata cadangan pembinaan projek Pelabuhan Bersepadu Labuan itu dilihat mampu tangani kesesakan lalu lintas bagi laluan keluar dan masuk pelabuhan itu, selain menampung operasi penyimpanan kargo yang terhad di Pelabuhan Labuan. 

“Dijangka dengan adanya ini, peningkatan kargo di Labuan dapat ditingkatkan sehingga 200,000 TEU (unit bersamaan 20 kaki) dan 3,000 kadar singgahan kapal dalam tempoh 30 tahun.

“MOT telah pun teliti dan perhalusi cadangan dan tiada halangan mengenai cadangan tersebut. LPL juga telah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Pelaburan LPL untuk membangunkan pelan induk Pelabuhan Labuan,” katanya.

Beliau berkata LPL juga dalam proses mempertingkatkan kecekapan pelabuhan, menggubal undang-undang kecil pelabuhan serta sedang memperkemaskan prosedur pelabuhan bagi memastikan Pelabuhan Labuan sentiasa berdaya saing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan