KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Bilangan kes baharu COVID-19 meningkat 0.8 peratus kepada 28,554 kes pada Minggu Epidemiologi ke-31 (ME 31/2022) dari 31 Julai hingga 6 Ogos, meliputi 28,499 kes tempatan dan 55 kes import.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata untuk tempoh sama, kes kematian pula meningkat kepada 60 kes berbanding 49 kes minggu sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 22.4 peratus.
“Bilangan kes sembuh pada ME 31/2022 menurun sebanyak 7.2 peratus iaitu 30,837 kes kepada 28,604 kes.
“Purata kes aktif setiap hari bagi ME 31/2022 adalah 45,941 iaitu terdapat penurunan sebanyak 2.6 peratus berbanding minggu sebelumnya,” katanya dalam kenyataan situasi semasa jangkitan COVID-19, hari ini.
Sementara itu, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk kekal sebanyak 12 orang bagi ME31/2022.
Dr Noor Hisham berkata pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) kekal 14 peratus, katil PKRC menurun sebanyak dua peratus manakala meningkat sebanyak dua peratus untuk katil bukan kritikal.
Selain itu, peratusan pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) meningkat sebanyak 0.1 peratus pada ME 31/2022 berbanding ME30/2022.
Beliau berkata kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara pula menunjukkan sedikit penurunan.
“Bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 1.7 peratus, kes baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 1.5 peratus manakala kes yang dirujuk CAC ke PKRC dan hospital menurun sebanyak 20.9 peratus,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial