SUKAN

EDISI SULUNG PIALA TUN ALI MEDAN LAHIR PELAPIS NEGARA

07/08/2022 10:13 PM

MELAKA, 7 Ogos (Bernama) -- Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2022 yang julung kalinya diadakan bermula 15 hingga 21 Ogos ini dilihat mampu mengetengahkan bakat baharu dan melahirkan pemain pelapis negara dalam sukan itu.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan berkata kejohanan itu turut menarik penyertaan 17 pasukan seluruh negara termasuk satu jemputan khas dari Singapura dengan menampilkan pemain muda termasuk atlet negeri yang bakal beraksi pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

"Kejohanan ini juga bakal mempertandingkan acara double buat kali pertama dan ia dilihat sebagai inisiatif kepada persediaan pasukan negara menghadapi kejohanan besar pada masa akan datang.

"Kita mahu mengetengahkan acara double ini supaya apabila ada kejohanan di peringkat Sukan Asia atau Sukan SEA, pasukan negara sudah dapat menyesuaikan diri dengan acara ini," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2022 oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sumali berkata kesemua pasukan juga dibenarkan untuk menyenaraikan pemain import bagi mengisi mana-mana posisi untuk memeriahkan lagi kejohanan.

Sementara itu, beliau berkata rombakan besar-besaran skuad sepak takraw negara yang membabitkan pemain dan jurulatih dilihat tidak akan menjejaskan persediaan Malaysia untuk menghadapi kejohanan besar sebaliknya mampu menyediakan pasukan yang lebih kompetitif.   

"Kita menyerahkan 100 peratus kepada Majlis Sukan Negara (MSN) yang akan menentukan perkara ini tetapi kita akan minta MSN berbincang juga dengan PSM jika mahu melakukan rombakan atau program baharu dalam memastikan pasukan baharu ini mencerminkan penampilan skuad sepak takraw negara yang lebih baik," katanya.

Semalam media melaporkan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (MASTAF) akan melakukan rombakan besar-besaran membabitkan pemain dan jurulatih skuad negara bagi menghadapi Piala Dunia Sepak Takraw di Korea Selatan pada November dan Sukan SEA Kemboja, Mei tahun depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan