AM

TERUS KIBAR JALUR GEMILANG, PAMER SEMANGAT PATRIOTIK - MB

07/08/2022 04:36 PM

SEREMBAN, 7 Ogos (Bernama) -- Rakyat Negeri Sembilan diseru untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang terutama di kediaman dan premis perniagaan bagi menyemarakkan semangat patriotik sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pengibaran bendera itu juga sebagai menghargai dan mengenang jasa dan jerih perih pejuang terdahulu dalam mendapatkan kemerdekaan selain ia menunjukkan kedaulatan negara yang bebas daripada penjajah sejak puluhan tahun.

“Kita lihat sambutan orang ramai agak kurang, bagaimanapun kebanyakan premis kerajaan sudah banyak yang memasang bendera, malah pada 28 Julai lepas saya juga menyerahkan Jalur Gemilang kepada semua jabatan dan agensi di negeri meminta ia dikibarkan hingga 16 Sept depan.

“Kita mahukan semangat itu, yang tua tunjukkan contoh kepada generasi muda, kalau tidak diterapkan sekarang takut nanti mereka lupa. Kalau kita boleh bersatu hati mengekang COVID-19, mengapa tidak buat perkara sama untuk mengibar Jalur Gemilang,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Justeru, beliau berkata pelbagai program dan pertandingan berunsur kenegaraan disusun bagi memupuk patriotisme dalam kalangan rakyat di negeri ini termasuk pertandingan koir, deklamasi sajak dan keceriaan merdeka.

Aminuddin berkata beberapa pengisian turut dirancang sepanjang Bulan Kebangsaan yang diterajui Jabatan Penerangan Negeri Sembilan seperti aktiviti Info On Wheels Merdeka (IOW Merdeka), Merdeka@Komuniti, Pertandingan Pengisahan Kenegaraan dan Semarak Gemilang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri sedang giat mengedarkan Jalur Gemilang kepada penduduk untuk dikibarkan di lokasi strategik terutama di kawasan perumahan.

Beliau berkata selain itu, pihaknya bersama Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (TABAH) turut merangka program Semarak Kemerdekaan Belia Negeri Sembilan bagi menarik penglibatan belia untuk turut serta dalam sambutan Hari Kebangsaan.

Mohamad Taufek berkata program yang akan bermula 15 Ogos hingga 31 Ogos itu membabitkan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan video pendek Tik Tok ‘Belia dan Erti Kemerdekaan’, Jelajah Belia Merdeka 65 Motosikal Negeri Sembilan dan Belia Jelajah Basikal Negeri Sembilan.

“Semua program ini melibatkan belia, kita tidak mahu mereka terkecuali dan mahu mereka teruja setiap kali tibanya bulan kemerdekaan. Mesejnya jelas iaitu semangat perpaduan dan kesedaran tanggungjawab belia untuk mendukung kemerdekaan yang ada pada hari ini.

“Program berkenaan akan melibatkan persatuan belia dan institusi yang ada di negeri ini dan semestinya respons daripada mereka adalah sangat positif,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan