SUKAN

APG: PRESTASI CEMERLANG ENAM SUKAN PACU KEJAYAAN KONTINJEN NEGARA DI SOLO

07/08/2022 09:50 AM

Daripada Vikneswaran Raman

SOLO (Indonesia), 7 Ogos (Bernama) -- Prestasi cemerlang enam sukan telah memacu kejayaan kontinjen Malaysia ke Sukan Para ASEAN (APG) ke-11, yang berlangsung bermula 30 Julai dan berakhir pada 5 Ogos lepas di sini.

Enam sukan tersebut adalah renang, olahraga, badminton, memanah, tenis berkerusi roda dan ping pong, dengan kesemuanya merupakan sukan yang berada di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN).

Hadir dengan 73 atlet ke kota Jawa Tengah ini, dengan empat daripadanya terpaksa digugurkan kerana COVID-19, kontinjen Malaysia berjaya merangkul 36 pingat emas, 20 perak dan 14 gangsa untuk menamatkan saingan di kedudukan keempat.

Pungutan pingat emas itu, lebih dua kali ganda berbanding sasaran awal untuk membawa pulang sekurang-kurangnya 16 emas, sasaran yang rendah berikutan persiapan terjejas, manakala penganjuran juga hanya disahkan pada minit-minit terakhir.

Walaupun saiz kontinjen sangat kecil berbanding beberapa edisi lepas, para atlet negara telah membuktikan kehebatan mereka dengan berjuang berhabis-habisan demi membawa kejayaan buat negara tercinta.

Skuad renang yang disasarkan untuk membawa pulang lima emas, dua perak dan tiga gangsa, berjaya menjadikan kolam renang sebagai ‘kolam emas’ apabila berjaya memancing 18 emas dan lima perak, sekali gus menggantikan olahraga sebagai penyumbang emas utama.  

Pasukan olahraga tetap menampilkan aksi terpuji apabila membawa pulang lapan emas, sembilan perak dan tiga gangsa, manakala badminton (3-1-4), powerlifting (3-2-3), memanah (2-1-1), tenis berkerusi roda (1-1-2) dan ping pong (1-1-0) turut menyumbang kepada koleksi pingat.

Sementara itu, skuad goalball lelaki yang turun selaku juara bertahan dengan sasaran membawa pulang sekurang-kurangnya perak, hanya membawa pulang gangsa manakala sukan boccia, catur, bola tampar duduk  tidak menghadirkan sebarang pingat.

Ketua Kontinjen Malaysia ke APG kali ini Kol (B) Md Nor Azam Ariffin berkata kejayaan di Solo memberikan gambaran positif bagi kontinjen negara menghadapi temasya-temasya utama akan datang seperti APG Kemboja 2023, Sukan Para Asia 2022 Hangzhou dan seterusnya Paralimpik Paris 2024.

“Pertama sekali tahniah dan terima kasih kepada semua atlet, jurulatih, pengurus pasukan dan tidak lupa juga pasukan sokongan seperti pasukan perubatan, fisioterapi serta sekretariat daripada MSN dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang bekerjasama keras satu pasukan untuk membawa kejayaan ini.

“Seterusnya, pihak MSN perlu meneliti laporan daripada temasya ini untuk merancang persediaan seterusnya, menilai prestasi sebenar atlet apabila temasya ini diadakan selepas lima tahun. Terima kasih juga kepada Indonesia yang sudi menganjurkan temasya ini, dan seterusnya menjayakannya,” katanya.

 Beliau turut meminta persatuan sukan yang tiada dalam program MSN, supaya bertindak cepat dan merancang hala tuju mereka untuk memperkasakan pembangunan sukan itu, supaya pencapaian mereka dapat dipertingkatkan.

Secara keseluruhannya, tuan rumah Indonesia muncul juara APG buat kali ketiga selepas merangkul 175-144-107 pingat. Indonesia pernah muncul juara keseluruhan pada edisi 2013 Myanmar dan 2017 Kuala Lumpur.

Thailand, pasukan paling cemerlang dengan enam kali muncul juara, menamatkan saingan di tangga kedua dengan pungutan 117-113-88 pingat, diikuti Vietnam (65-62-55).

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan