SUKAN

JAVEN-KAREN LAKAR KEJUTAN MARA KE FINAL

07/08/2022 12:38 AM

Daripada Elmi Rizal Elias

BIRMINGHAM, 6 Ogos (Bernama) -- Pasangan negara,Javen Choong dan Karen Lyne mencipta kejutan apabila mara ke pentas final acara ping pong beregu campuran pada Sukan Komanwel 2022 Birmingham di Pusat Pameran Nasional (NEC), di sini, hari ini.

Turun sebagai beregu bukan pilihan, tidak penghalang Javen-Karen untuk menampilkan prestasi cemerlang dengan menewaskan pilihan ketiga dari Singapura, Clarence Chew Zhe Yu-Zeng Jian, 3-1.

Gandingan negara itu bermula baik apabila mencatat kemenangan 11-7 pada set pertama, namun kecundang 5-11 di set kedua, sebelum terus mempamerkan aksi meyakinkan dengan kemenangan di set ketiga dan keempat, masing-masing 11-7, 11-7.

Lebih manis, kejayaan beregu campuran itu berjaya mengubat kekecewaan mereka apabila tersingkir di peringkat suku akhir kepada lawan yang sama pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, Mei lepas.

Menanti Javen-Karen di pentas final esok, adalah pasangan dari India, Sharath Kamal Achanta-Sreeja Akula yang menumpaskan wakil Australia, Nicholas Lum dan Jee Minhyung, 3-2 (11-9, 11-8, 9-11, 12-14, 11-7).

Pengurus pasukan negara, Ting Hie Phin bangga dengan kejayaan pasangan negara itu dalam tugasan kedua mereka di peringkat antarabangsa selepas mula digandingkan pada awal tahun ini.

“Kita tidak jangka mereka mampu mara ke final sebab sasaran kita hanya ke suku akhir. Tetapi mereka menunjukkan prestasi cemerlang dan berharap mereka dapat membawa pulang pingat emas di sini,” katanya.

Beliau berkata keyakinan tersebut juga berdasarkan kepada pencapaian beregu campuran negara itu di suku akhir dengan menundukkan pasangan India, Sathiyan Gnanasekaran-Manika Batra, yang merupakan pilihan utama dan berada dalam kedudukan 10 beregu campuran terbaik dunia.

Sebagai rekod, Malaysia belum pernah memenangi sebarang pingat dalam acara beregu campuran pada temasya Sukan Komanwel.

Pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia, kem ping pong negara hanya meraih satu pingat gangsa dalam acara beregu wanita.

Di temasya kali ini, skuad ping pong negara sudah meraih satu perak dalam acara berpasukan wanita.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan