AM

SEMANGAT, PENGORBANAN PEJUANG KEMERDEKAAN PERLU DITANAM DALAM DIRI GENERASI MUDA

06/08/2022 01:44 PM

PADANG BESAR, 6 Ogos (Bernama) -- Semangat juang serta pengorbanan para pejuang terdahulu menuntut kemerdekaan perlu disemat dalam jiwa setiap anak muda masa kini, kata Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perlis Azizan Sulaiman.

Beliau berkata hasil perjuangan dan pengorbanan pejuang terdahulu itulah yang telah membolehkan semua rakyat mengecapi nikmat keamanan pada masa kini.

“Anda (anak muda) perlu tanam sikap semangat cintakan negara kerana pejuang terdahulu berjuang habis-habisan bagi membolehkan kita rakyat hidup aman damai hari ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis pelepasan Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Puan Muda Tengku Fauziah di sini, hari ini.

KMKM 2022 yang tiba di Perlis dari Kedah semalam memulakan kembara hari keduanya hari ini dari Parlimen Padang Besar ke Parlimen Arau dan majlis anjuran Jabatan Penerangan Perlis itu disertai pelajar serta masyarakat setempat.

Kembara itu turut disertai 15 motosikal berkuasa tinggi serta 20 kenderaan pelbagai jenis diketuai oleh Pengarah Penerangan Perlis Azrul Hasan.

Sementara itu, Azizan meminta masyarakat agar tidak melupakan pengorbanan petugas barisan hadapan daripada pelbagai agensi yang masih bersusah payah membebaskan rakyat daripada wabak COVID-19 meskipun sudah lebih dua tahun berdepan pandemik itu.

Katanya, pematuhan rakyat terhadap segala bentuk prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan oleh kerajaan telah membuahkan hasil sehingga turut membolehkan rakyat menyambut Bulan Kebangsaan secara fizikal.

Antara pengisian majlis tersebut ialah deklamasi puisi oleh pelajar sekolah dan nyanyian lagu-lagu patriotik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan