AM

LEBIH 19,000 PENGUNJUNG HADIR HARI PERTAMA JELAJAH AKM SARAWAK

07/08/2022 03:42 PM

KUCHING, 6 Ogos (Bernama) -- Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Sarawak menarik lebih 19,000 pengunjung pada hari pertama semalam meskipun hujan hampir sepanjang hari.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ini menunjukkan sambutan baik warga Sarawak terhadap program itu yang berlangsung di Dataran Perayaan Petra Jaya di sini dari 5 hingga 7 Ogos.

“Kita harapkan lebih ramai pengunjung hadir hari ini kerana hujung minggu selain keadaan cuaca juga lebih baik.

“Jadi orang Sarawak terutamanya yang tinggal di sekitar Kuching boleh datang beramai-ramai kerana banyak informasi mengenai program dan bantuan kerajaan ada di sini termasuk jualan murah,” katanya selepas membuat tinjauan ke pameran Jelajah AKM Sarawak di sini hari ini.

Terdahulu, Fadillah turut mengetuai program Fun Ride Penjawat Awam di sekitar bandar raya ini  sempena jelajah berkenaan yang disertai 100 penjawat awam.

Turut menyertai acara kayuhan beramai-ramai sejauh 8.8 kilometer itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Seri Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Jelajah AKM ini berkonsepkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dengan menggambarkan keutuhan negara yang terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sebuah keluarga, selain frasa Keluarga Malaysia itu disifatkan lebih inklusif kerana merentasi sempadan agama dan bangsa.

Sepanjang tiga hari Jelajah AKM edisi Sarawak yang bermula semalam, pelbagai acara dan aktiviti disediakan dengan penglibatan 28 agensi perkhidmatan awam yang menyediakan pelbagai bantuan dan perkhidmatan.

 -- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan