PUTRAJAYA, 6 Ogos (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan menjadi tuan rumah kepada rakan sejawatannya dari New Zealand, Nanaia Mahuta, sempena lawatan kerja beliau ke Malaysia dari 6 hingga 9 Ogos.
Ini merupakan lawatan pertama Mahuta ke Malaysia sejak pelantikan beliau pada November 2020.
Kementerian Luar Malaysia, dalam satu kenyataan pada Sabtu, berkata kedua-dua menteri dijadual bertemu dan bertukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Antara topik utama perbincangan termasuk mengenal pasti mekanisme dua hala yang sesuai bagi mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.
Mahuta juga dijadual bertemu Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid bagi membincangkan isu-isu berkaitan kerjasama antara komuniti orang asli kedua-dua negara.
“Lawatan itu menunjukkan komitmen Malaysia untuk menjalinkan kerjasama yang lebih rapat dengan New Zealand.
“Selain itu, ia juga memberi peluang kepada kedua-dua negara meneroka lebih banyak potensi kerjasama dalam pelbagai sektor demi kebaikan bersama,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial