SUKAN

RAIH EMAS PENCAK SILAT DI AUG TIDAK CUKUP BUAT HAZIQ

05/08/2022 02:29 PM

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

UBON RATCHATHANI (Thailand), 5 Ogos (Bernama) -- Memenangi pingat emas Sukan Universiti ASEAN (AUG) tidak cukup buat atlet pencak silat Muhammad Haziq Bistaman, sebaliknya beliau mengidamkan kejayaan lebih besar untuk berada di dalam skuad silat kebangsaan.

Muhammad Haziq berkata impian tersebut menjadi keutamaan namun mengakui perjalanannya masih jauh selain banyak kelemahan perlu diperbaiki bagi melayakkan dirinya menyarung persalinan silat elit negara itu.

"Untuk mengejar gelaran juara dunia memang cita-cita yang jauh lagi. Dalam masa terdekat, mungkin fokus lebih kepada AUG seterusnya di Indonesia kerana pencak silat pasti dipertandingkan di sana.

“Saya pun akan bertanding dalam Sukan Malaysia (SUKMA) mewakili Terengganu. Cuma kalau ada rezeki saya memang mahu menyarung baju Malaysia elit itu," katanya.

Bagi penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu, kejayaan menempah slot dalam skuad silat kebangsaan sentiasa tersemat di hatinya sekali gus berharap peluang itu akan hadir pada masa akan datang.

Pada hari ketiga pencak silat dipertandingkan di AUG semalam, Muhammad Haziq menyumbang emas keempat sukan itu setelah mengungguli kategori Kelas J Putra menewaskan atlet Thailand, Sufee Woh 5-0 pada pentas final.

Pingat emas ketiga kem pencak silat pula diraih menerusi Putra Syaid Hidayatullah Ramli yang turut mudah mengatasi pesilat tuan rumah, Kanmueang Puriso dengan kemenangan 5-0 bagi kategori Kelas H Putra.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan