AM

SYOR DALAM LAPORAN PAC BERHUBUNG PEROLEHAN LCS AKAN DIPATUHI - HISHAMMUDDIN

04/08/2022 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan mematuhi semua syor yang dikemukakan dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) dalam meneruskan projek kapal berkenaan pada masa hadapan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihaknya dan semua pemegang taruh terlibat juga akan meneliti laporan berkenaan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata kementeriannya telah memberi kerjasama penuh dan sentiasa telus semasa menghadiri prosiding-prosiding serta  proses siasatan yang dilakukan PAC.

“Siasatan Suruhanjaya Pencegahan  Rasuah Malaysia terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam penyelewengan dalam perolehan kapal berkenaan masih berjalan dan berharap pihak yang bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Pada April lepas, Kabinet telah bersetuju dengan Pelan Pemulihan Projek LCS yang membenarkan tempoh mobilisasi dilaksanakan selama enam bulan bagi membolehkan rundingan dibuat dengan pihak OEM (Original Equipment Manufacturer) dan vendor seterusnya memuktamadkan perancangan ke hadapan perolehan LCS seperti yang dimahukan serta diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Tadbir Urus Khas yang ditugaskan memantau secara dekat terutama proses mobilisasi berkenaan dan melaporkan perkembangannya kepada Kabinet.

PAC dalam laporan yang dikeluarkan hari ini mengesyorkan antaranya MINDEF perlu membentangkan perancangan perolehan ketenteraan substantif kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Pertahanan dan Keselamatan dari semasa ke semasa dengan melibatkan semua pihak berkepentingan demi kesiapsiagaan pertahanan negara.

Syor lain yang dikemukakan PAC adalah supaya MINDEF melihat semula kesemua opsyen dan menetapkan hala tuju terbaik projek LCS bagi memastikan wang awam dibelanjakan secara bertanggungjawab selain perlu membentangkan laporan kemajuan LCS setiap tiga bulan kepada PAC sehingga projek LCS disempurnakan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan