DUNIA

Suspek tembakan di Illinois hadapi tujuh dakwaan membunuh, hukuman penjara seumur hidup - Peguam

06/07/2022 01:27 PM

WASHINGTON, 6 Julai (Bernama) -- Lelaki bersenjata yang disyaki terlibat dalam insiden tembakan semasa perarakan sambutan 4 Julai di Illinois menghadapi tujuh pertuduhan membunuh tahap pertama kerana melakukan serangan yang menyebabkan tujuh orang maut, lapor Sputnik.

"Pejabat Peguam Negeri Lake County hari ini mendakwa Robert Crimo III atas tujuh pertuduhan pembunuhan tahap pertama," kata Peguam Negara Lake County Eric Rinehart semasa satu sidang akhbar pada Selasa.

Pihak berkuasa berhasrat mendakwa Crimo dengan berpuluh-puluh lagi tuduhan jenayah pada masa hadapan, tambah Rinehart.

Crimo berdepan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol jika sabit kesalahan atas pertuduhan terhadapnya, kata Rinehart.

Kesemua mangsa adalah penduduk Highland Park berusia antara 35 dan 88 tahun, kecuali seorang dari Mexico, kata Koroner Lake County Jennifer Banek.

Polis berjaya menahan lelaki bersenjata berusia 21 tahun yang dikenali sebagai Robert Crimo III, yang melepaskan tembakan pada perarakan Hari Kemerdekaan di Highland Park dari atas bumbung bangunan berdekatan. Pihak berkuasa berkata, Crimo membeli secara sah senapang AR-15 yang digunakannya dalam serangan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan