Oleh Nur-Aimi Mohamed Ghazemy
KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Platform peruncitan dalam talian, HappyFresh telah melancarkan kempen promosi pertengahan tahun HappyFresh Supermarket untuk membantu pelanggan dalam memerangi kenaikan inflasi dan kos sara hidup.
Ketua Pegawai Pertumbuhan Johan Antlov berkata kempen itu, yang dinamakan 'Cheapest in Town' (Termurah di Bandar), akan berlangsung sehingga September tahun ini.
“Dengan tawaran eksklusif harga termurah kami, kami berharap melalui promosi dan diskaun ini, orang ramai akan mendapat manfaat yang besar,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran kempen itu, di sini, hari ini.
HappyFresh Supermarket meliputi lebih tujuh bandar di seluruh Lembah Klang, dengan lebih 15,000 unit penyimpanan stok (SKU) produk segar, kering dan sejuk beku dalam inventorinya.
“Kami telah melancarkan beberapa kedai pada separuh pertama tahun ini dan kami akan terus berkembang (merangkumi) di lebih banyak kawasan serta bandar berhampiran,” kata Antlov.
Sementara itu, bercakap kepada Bernama, beliau berkata syarikat itu telah melabur kira-kira RM65 juta pada akhir tahun lepas, kebanyakannya untuk mengukuhkan infrastruktur gudang dan ketersediaan rantaian bekalan.
“Kami perlu berhati-hati di mana kami melabur kerana kami perlu memastikan ia adalah untuk pengguna yang betul.
"Walaupun dengan inflasi yang meningkat, kami tidak mempunyai sebarang niat untuk menaikkan harga secara agresif, kami akan mengekalkan tarikan berbaloi dengan wang yang dibelanjakan untuknya," kata Antlov.
Beliau juga berkata kadar penembusan barangan runcit dalam talian, yang merupakan industri US$600 bilion (US$1=RM4.42), di Malaysia adalah dua peratus daripada jumlah perbelanjaan runcit dan dijangka berkembang kira-kira lapan peratus dalam tempoh lima tahun.
Beliau menyatakan HappyFresh ingin menjadikan perbelanjaan runcit dalam talian boleh diakses oleh semua pelanggannya dengan menyediakan pembelian yang mudah dan senang serta penghantaran percuma dan tanpa kehabisan stok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial