EKONOMI

Anak Syarikat Ekovest peroleh kontrak bernilai RM1.979 bilion untuk projek RTS Link

06/07/2022 02:03 AM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Ekovest Bhd, Ekovest Construction Sdn Bhd (ECSB) telah memperoleh kontrak bernilai RM1.979 bilion daripada Adil Permata Sdn Bhd (APSB) untuk rel laluan Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru-Singapura (Projek RTS Link).

APSB ialah kontraktor utama yang dilantik oleh Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd (MRTS), pemaju dan pemilik infrastruktur awam bagi bahagian di Johor Bahru ke Singapura untuk Projek RTS Link.

“Penyertaan ECSB sebagai rakan kerjasama APSB dan kontraktor kejuruteraan, perolehan dan pembinaan untuk melaksanakan pembinaan Projek RTS Link akan menambahkan lagi order book  pembinaan.

“Ia juga dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan Ekovest dan kumpulan syarikatnya,” kata syarikat pembinaan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ekovest berkata Projek RTS Link ini terdiri daripada sambungan ulang-alik kereta api sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen di Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands, Singapura.

Laluan untuk Projek RTS Link ini adalah sistem transit aliran ringan moden yang akan menyediakan sistem pengangkutan dengan volum yang tinggi, pantas dan cekap antara kedua-dua stesen, mengadakan pengangkutan alternatif yang akan membantu mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan imigresen bagi kedua-dua negara, katanya.

Projek ini dijangka menyediakan anggaran 10,000 penumpang sejam setiap arah melalui Johor Bahru ke Singapura dan ia akan mengurangkan kesesakan di Tambak Johor-Singapura.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan