EKONOMI

SME Corp sasar Program TUBE capai nilai jualan lebih 10 peratus kepada RM150 juta tahun ini

04/07/2022 04:29 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- SME Corp Malaysia menyasarkan nilai jualan terkumpul program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) meningkat lebih 10 peratus kepada RM150 juta pada akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rizal Nainy berkata pihaknya komited sasaran itu dapat dicapai didorong oleh pembukaan sektor ekonomi dan pembukaan sempadan negara. 

“Pertumbuhan sebanyak 10 peratus itu amat bermakna. Kita harap usahawan program TUBE dapat meningkatkan jualan mereka sebanyak lima hingga 10 peratus,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian program TUBE@PEMERKASA di sini hari ini. 

Ia dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Muslimin Yahaya mewakili Menteri KUSKOP Tan Sri Noh Omar.

Sejak mula dilancarkan pada 2014, program TUBE telah melatih seramai 6,782 belia untuk menceburi bidang perniagaan di bawah program itu. Daripada jumlah tersebut, seramai 6,633 usahawan (98 peratus) berjaya dilahirkan berdasarkan perniagaan yang didaftarkan. 

Sejumlah RM43.23 juta geran perniagaan telah disalurkan kepada peserta yang berjaya dan hasilnya, program TUBE telah mencatatkan nilai jualan terkumpul berjumlah RM140.6 juta sehingga Jun 2022. 

Program itu juga telah berjaya mewujudkan 12,242 peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, Rizal berkata program TUBE kebanyakannya dalam industri makanan dan minuman (F&B) tetapi SME Corp akan turut memberi tumpuan kepada sektor agromakanan untuk mengukuhkan lagi sekuriti makanan rantaian bekalan makanan. 

Pada tahun ini, sesi latihan di bawah program TUBE@PEMERKASA dilaksanakan secara dalam talian bermula 16 Jun lepas dan akan tamat pada 8 Julai 2022 melibatkan 400 peserta dari seluruh negara. 

Sehingga kini, seramai 204 peserta telah menyertai latihan Sesi 1 Program TUBE@PEMERKASA dan bakinya sedang menjalani latihan di bawah Sesi 2.

Dana sebanyak RM10 juta telah diperuntukkan untuk program itu dan RM5 juta telah disalurkan kepada SME Corp setakat ini. 

Dana tersebut akan digunakan untuk penyaluran Geran Perniagaan antara RM10,000 dan RM15,000 kepada belia Bumiputera yang berpotensi. 

Sesi latihan program TUBE@PEMERKASA dijalankan secara dalam talian dalam dua sesi iaitu Sesi Pertama dari 16 hingga 25 Jun manakala Sesi Kedua telah bermula pada 28 Jun dan akan tamat pada 8 Julai 2022.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan