SUKAN

Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir, singkir 'The Daddies'

02/07/2022 12:45 AM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2022 selepas menyingkirkan pasangan veteran Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan hari ini.

Gandingan negara turun selaku pilihan kelima menyajikan aksi mendebarkan penonton di Arena Axiata bermula dengan baik apabila menguasai set pertama 21-13, namun pasangan The Daddies yang jelas berpengalaman dalam waktu genting menang set kedua dengan 22-20 untuk mengheret kepada set penentuan.

Pada set penentuan, Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking keenam dunia, bermain dengan tenang serta mengelak daripada melakukan kesalahan mudah untuk menoktahkan kemenangan 21-19 sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir esok.

Pasangan pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo itu akan berdepan pilihan kedua Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun.

Terdahulu, pasangan nombor dua dunia itu dipaksa bermandi peluh sebelum menyingkirkan Choi Sol Gyu-Kim Won Ho dari Korea Selatan 21-14, 21-23, 21-14 dalam satu lagi saingan suku akhir.

Sementara itu, Aaron menyifatkan pertembungan dengan Mohammad Ahsan-Hendra adalah satu ujian getir namun gembira dapat menewaskan gandingan ketiga dunia itu hari ini.

“Tidak senang untuk lawan dengan mereka sebab mereka tetap ambil mata mudah dari kami. Tapi sokongan penonton beri kelebihan kepada kami,” katanya kepada pemberita.

Nasib berbeza bagi pasangan profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi apabila terkandas di suku akhir selepas tunduk kepada pasangan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 21-13, 21-9.

Yew Sin ketika ditemui mengakui kesilapan mereka kerana membiarkan lawan menguasai permainan dan memusnahkan impian mereka untuk beraksi di separuh akhir.

Ee Yi berkata tahap pencapaian mereka pada Terbuka Malaysia ini adalah enam daripada 10 markah, dan bertekad untuk fokus kepada cabaran di Masters Malaysia minggu depan.

Fajar Alfian-Muhammad Rian mengatur pertemuan dengan satu lagi pasangan negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang bermain dengan hebat mengenepikan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China 21-11, 22-20.

Kali terakhir pasangan negara mara ke separuh akhir adalah pada edisi 2014 menerusi Goh V Shem-Lim Khim Wah sebelum muncul juara selepas mengalahkan pasangan China Chai Biao-Hong Wei 21-19, 21-18.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan